Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan membabitkan kes jenayah yang dibuka terhadap ahli politik diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Tambah beliau, rekod itu diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kertas siasatan berkenaan membabitkan kes jenayah yang dibuka dalam tempoh tahun 2020 hingga Julai 2025, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, ujar Azalina, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes itu masih boleh dijalankan sekiranya ada perkembangan baharu pada masa depan.
Kes jenayah tidak seperti kes sivil, ia tidak tertakluk kepada had tempoh masa. Jadi, jika terdapat perkembangan baharu pada masa depan, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan.
Pada masa sama, Azalina berkata, bagi memastikan klasifikasi NFA tidak dipengaruhi campur tangan politik, AGC meneliti secara menyeluruh semua keterangan dikemukakan dalam kertas siasatan oleh polis tanpa mengambil kira latar belakang individu disiasat.
Penilaian dibuat berasaskan fakta, bukti dan undang-undang yang terpakai dengan mengambil kira prinsip integriti, ketelusan serta kebebasan pendakwaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.