Kerajaan akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod Respons Pantas (QR) khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas Terminal 1 (T1) dan T2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Memetik dari Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan T1 dan T2 itu adalah langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Imbasan kod QR imigresen akan mengambil masa lima hingga tujuh saat berbanding sistem imbasan pasport yang mengambil masa 15 hingga 25 saat.
Sistem kod QR akan mula diuji bulan ini bagi melihat keberkesanannya untuk mengurangkan kesesakan khususnya ketika cuti perayaan dan waktu puncak.
Menteri itu turut berkata penggunaan kod QR ini dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.
Walaupun lorong imbasan QR telah dibuka, orang ramai masih perlu membawa pasport untuk melakukan perjalanan.
Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan.
Menteri itu turut menambah, kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.