“35 Tahun Tempoh Cukup Bayar Balik Pinjaman” – Bank Negara Malaysia

Trending

“35 Tahun Tempoh Cukup Bayar Balik Pinjaman” – Bank Negara Malaysia

Tempoh bayaran balik maksimum selama 35 tahun bagi pinjaman perumahan dikatakan lebih daripada cukup bagi peminjam menjelaskan pinjaman perumahan menjelang umur persaraan mereka, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Advertisement

“Sebagai contoh, sekiranya pinjaman perumahan ditawarkan kepada peminjam semasa berusia 25 tahun, tempoh pembiayaan selama 35 tahun adalah sehingga umur persaraan 60 tahun,” katanya.

Selain itu, dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada 40 tahun akan menambah jumlah kos pembiayaan tanpa sebarang peningkatan ketara dalam kemampuan seseorang itu untuk membayar ansuran bulanan, katanya.

Maklum balas berkenaan sebagai merujuk kepada laporan media yang meminta BNM supaya mengkaji semula garis panduan pemberian pinjaman berkaitan dengan pelanjutan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan daripada 35 kepada 40 tahun.

Bank pusat menjelaskan pelaksanaan garis panduan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh BNM bertujuan memelihara kepentingan seseorang individu supaya mereka meminjam mengikut kemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini bagi mengelakkan peminjam menghadapi masalah kewangan akibat bebanan hutang yang berlebihan dan boleh membawa kepada perampasan rumah lantas menjejaskan matlamat pemilikan rumah.

Akses kepada pembiayaan bukan merupakan masalah utama yang dihadapi oleh bakal pembeli rumah mampu milik, kata BNM dan menambah sebaliknya, isu utama yang memerlukan penyelesaian ialah kemampuan mereka dan kekurangan bekalan rumah pada harga yang berpatutan.

Menurut BNM lagi, institusi kewangan akan terus memberikan pinjaman kepada individu yang mampu mengambil pinjaman perumahan, termasuk untuk pembelian rumah pertama mereka.

Pada Julai 2016, jumlah pinjaman perumahan terkumpul yang diberikan institusi kewangan terus meningkat pada 10.1% pada asas tahunan dan berjumlah RM460.2 bilion.

Kira-kira 75% daripada peminjam atau lebih kurang 1.5 juta peminjam, yang mempunyai pinjaman perumahan merupakan pembeli rumah kali pertama.

Institusi kewangan bertanggungjawab untuk memastikan pendapatan peminjam selepas potongan wajib, perbelanjaan atas barangan keperluan asas dan semua tanggungan hutang lain adalah mencukupi untuk membayar balik hutang, katanya.

“Ini bagi memastikan peminjam boleh terus membayar balik pinjaman serta mempunyai baki kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan mereka serta bersedia menghadapi sebarang kenaikan kadar pinjaman dan kos sara hidup pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sumber : Bernama

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...