Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa 34 keluarga sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, akan menerima bantuan tunai.
Menurutnya, wang tunai sebanyak RM1,500 akan diberikan bagi meringankan beban dan menghapuskan kebimbangan ahli keluarga yang terkesan dengan apa yang berlaku.
Katanya, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim Malaysia) akan berurusan dengan ahli keluarga sukarelawan dalam masa terdekat untuk tujuan mendapatkan butiran mereka agar bantuan diagihkan secepat mungkin.
Sudah ada usaha dilakukan melalui Mapim untuk berhubungan dengan ahli keluarga sukarelawan dan kita akan bertemu mereka bagi membolehkan bantuan segera disalurkan. Kita tidak mahu mereka bimbang atau tertekan ekoran pemergian ahli keluarga menyertai misi tersebut.
Mohd Naim turut berkata Mapim sebelum ini telah menyalurkan wang pendahuluan sebanyak RM5,000 kepada 34 sukarelawan yang mengikuti misi tersebut.
Ujarnya, semua ahli keluarga juga memerlukan sokongan moral dan spiritual untuk menenangkan emosi kerana ketidaktentuan tempoh pemergian sukarelawan itu.