Seorang wanita 28 tahun dari Zhenzhou, wilayah Henan di China, tiba di Shanghai minggu lepas untuk membuat pembedahan kosmetik setelah dia didiagnosis dengan satu penyakit yang jarang ditemui membuatkan dia kelihatan dua kali ganda lebih tua dari usia. Setelah melahirkan anaknya 11 tahun lepas, penampilan Hu Juan mula berubah, seolah-olah dia tua sebelum waktunya.
Walaupun hanya berusia 28 tahun, wajahnya kelihatan seperti seorang wanita 60-an atau 70-an, lapor Xinhua News.
Xu didiagnosis menghidap sejenis kecelaruan yang dipanggil Cutis laxa. Ciri-cirinya ialah kulit menjadi longgar, jatuh dan berkedut dalam masa yang singkat kerana hilang keanjalan dan ia hanya kelihatan di wajah dan leher Xu.
Kurang dari 10 orang di dunia ini telah didiagnosis dengan kecelaruan tersebut, dan hanya satu di China, menurut Xinhua. Tidak ada rawatan yang efektif untuk penyakit ini namun pembedahan plastik mampu memperbetulkan penampilannya.
Selama 11 tahun lepas, suami Hu telah menyaksikan sendiri wajah muda Hu bertukar seperti perempuan tua. Hu mengelak untuk keluar rumah mahupun memandang cermin, dan sedar anaknya yang masih kanak-kanak itu seolah-olah menjauhkan diri darinya. Dia malu mahu memberitahu kawan-kawan Hu ialah ibunya.
Hu mula mengalami kemurungan dan pernah cuba membunuh diri. Pasangan itu memikirkan mempunyai seorang lagi anak akan mengubah keadaan, tetapi keadaan tetap sama setelah kelahiran anak perempuan mereka.
Satu klinik pembedahan plastik telah menubuhkan satu pasukan profesional untuk membantu Hu, termasuk seorang ahli psikologi. Hu memberitahu dia sangat berharap untuk mendapatkan semula wajah muda, walaupun doktor tidak dapat menyatakan dengan pasti pembedahan itu akan berjaya memandangkan keadaan Hu sudah dibiarkan terlalu lama.