Idea tentang sebiji burger yang berasa seperti daging manusia mungkin kedengaran menjijikkan, tetapi ia tidak mematahkan semangat dua orang chef dari London untuk cuba menghasilkannya. Ia telah dihidangkan dalam satu majlis yang merupakan promosi untuk siri televisyen The Walking Dead musim ke-lima yang akan bermula 13 Oktober ini.
Walau bagaimanapun, kedua Chef tersebut tidak makan daging manusia sebenar untuk mengetahui rasa daging manusia dengan tepat. Sebaliknya, mereka hanya membaca testimoni dari kanibal terkenal iaitu pengambara William Seabrook dan pembunuh, Issei Sagawa.
Menurut Seabrook, rasa daging manusia ialah seperti rasa daging lembu yang baru dewasa. Sagawa pula berkata daging manusia ‘cair di mulut’ seperti tuna mentah restoran sushi. Untuk menghasilkan rasa itu, kedua chef itu menggunakan daging lembu muda, campuran istimewa daging babi, tulang sum sum dan hati ayam.
Burger itu dihidangkan dengan sos istimewa dan sayuran segar, khabarnya dipuji sedap oleh 250 orang tetamu khas yang hadir ke majlis promosi The Walking Dead itu.
Sumber: The Salt