Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat menghadiri majlis persembahan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ di Dataran Merdeka di sini, Sabtu malam.Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri kabinet serta duta-duta asing.
Majlis persembahan penuh tradisi dan kebudayaan membabitkan tari dan seni pertahanan diri, yang dijayakan 632 peserta daripada pelbagai persatuan kesenian, diadakan bersempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Persembahan itu terbahagi kepada empat segmen iaitu Kegemilangan Istana, Dari Rakyat Kepada Raja, Kreatif dan Tarian Rakyat dan Dirgahayu Tuanku. Ia dimulakan dengan perarakan diraja bermula dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke Dataran Merdeka yang didahului dengan seekor gajah disertai dengan tiupan Tetuang yang melambangkan raja-raja Melayu dahulu kala.
Seterusnya, Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Pertabalan melafazkan Warkah Sumpah Taat Setia Rakyat, yang ditulis dalam Jawi di atas sekeping kulit, bagi menyatakan kesediaan rakyat mendokong dan mempertahankan institusi raja berperlembagaan. Persembahan penuh warna-warni kira-kira satu setengah jam itu turut diserikan dengan persembahan artis popular termasuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan Noraniza Idris. Kemuncak acara dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api selama lima minit sebelum keberangkatan pulang Seri Paduka berdua. Upacara penutup majlis diserikan dengan Persembahan Khalayak oleh artis dari pelbagai bangsa antaranya Ning Baizura, Awie, Jimmy Palikat, Reshmonu dan Suki. Sementara itu, rata-rata pengunjung kagum menyaksikan acara itu yang dilakukan dengan penuh adat istiadat diraja. Lagi 26 gambar dengan membaca entri ini sepenuhnya. Teks asal BERNAMA, kredit gambar Ezlina Alias.
En. Saifulkhairi Ahmad Hasibuan, Edlynna Hanie Hamid dan Terrence Joseph Dass bergandingan selaku Pengacara Majlis untuk Persembahan 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada'
Team JKKN yang bertanggungjawab terhadap aturan persembahan sepanjang majlis sedang mengikuti taklimat dari Dato' Norliza Rofli untuk memastikan kelancaran.
En. Mohd Radzi Omar memainkan peranan dengan baik malam tu selaku Memanda Menteri.
Dato' Sri Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bersama Dato' Norliza Rofli sedang tekun sewaktu Raptai 1.
Bermula Jika Raja Bergajah, Temenggung Di Kepala Gajah, Laksamana Atau Seri Bija Diraja Di Belakang, Bentara Memikul Pedang Kerajaan. Adapun Jika Mengadap Nobat, Barang Orang Besar-Besar Dari Kiri Gendang; Barang Orang Kecil Dari Kanan Gendang. Adapun Yang Kena Sirih Nobat Pertama Bendahara Dan Anak Raja-Raja, Dan Penghulu Bendahari, Dan Temenggung, Dan Menteri Keempat, Dan Kadi, Dan Pakeh, Dan Laksamana, Seri Bija Diraja, Dan Sida-Sida Yang Tua-Tua…
En. Zulkarnain Ramly selaku Pembesar membawakan Warkah lafaz taat setia tersebut memberikan maksud yang tersirat bahawa rakyat malaysia terus mendokong dan akan mempertahankan institusi raja berperlembagaan. Warkah lafaz ikrar menjunjung kasih dan taat setia sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 14 di tulis dengan tangan dalam tulisan jawi di atas sekeping kulit. Pemegangnya di buat dari kayu yang berukir secara langsung mencerminkan bahawa kedaulatan Raja-raja tetap terpelihara dan tetap unggul di nusantara.
Noraniza Idris dan Sali Bahbola utk 'Ayuh Juragan'
Jamal Abdillah dan Dennis Lau dgn 'Gadis Malaysia'
Halim Yazid bersama Kumpulan Kesenian JKKN dgn Dikir Kreatifnya