2010 vs 2018: Kos Pengajian Semakin Tinggi, Tetapi Gaji Permulaan Graduan di Malaysia Semakin Rendah

Trending

2010 vs 2018: Kos Pengajian Semakin Tinggi, Tetapi Gaji Permulaan Graduan di Malaysia Semakin Rendah

Pemegang ijazah di negara ini kini berdepan dengan dua masalah iaitu gaji permulaan mereka semakin menurun, begitu juga dengan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

Bank Negara dalam Laporan Tahunan 2018, mendedahkan gaji permulaan bulanan graduan baru yang memiliki diploma dan ijazah sarjana muda semakin menurun sejak tahun 2010.

Advertisement

Jumlah yang disesuaikan selepas inflasi menunjukkan gaji permulaan buat graduan dengan ijazah sarjana muda ialah RM1,993 pada 2010 dan jumlahnya menurun kepada  RM1,983 pada tahun 2018.

Mereka yang memiliki ijazah sarjana pula melihat penurunan kadar gaji permulaan yang lebih buruk.

Gaji minimum mereka direkodkan RM2,923 pada 2010 dan menurun kepada RM2,707 pada 2018.

Laporan itu bagaimanapun mencatatkan bahawa gaji minimum semakin meningkat di kalangan pekerja berkemahiran rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Gaji pekerja berkelulusan PMR dan SPM didapati meningkat 4.6% dan 2.3%.

Data terbaru ini menarik perhatian graduan-graduan muda. Ini kerana kos pengajian tinggi semakin meningkat sedangkan gaji permulaan mereka yang memiliki diploma atau pengajian tinggi tidak meningkat sama.

Malah, bukan saja gaji permulaan pemegang diploma dan ijazah semakin berkurang, kajian itu juga mendapati jumlah pekerja yang diupah untuk jawatan berkemahiran tinggi juga semakin rendah.

Laporan itu menunjukkan bahawa jumlah pemegang diploma dan ijazah yang memasuki pasaran pekerjaan meningkat 173,457 setiap tahun (dari 2010 – 2017) secara purata.

Manakala untuk tempoh yang sama, pengambilan pekerja untuk jawatan berkemahiran tinggi hanya sebanyak 98,514 secara purata setiap tahun.

Ini menunjukkan ekonomi kita masih belum dapat menjana jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang cukup untuk menyerap jumlah graduan yang masuk ke pasaran pekerjaan.

Sebagai tambahan, satu kajian oleh Institut Kajian Khazanah mendapati 95% pekerja baru kini bekerja  dalam perjawatan yang tidak memerlukan kemahiran dan 50% yang bekerja di jawatan manual berkemahiran rendah pula mempunyai kelayakan yang terlebih tinggi dari sepatutnya.

Bayaran gaji dijangka akan naik sehingga 6% tahun ini di Malaysia dan tahap perkembangannya berada di bawah paras trend jangka-panjang.

Bank Negara juga mendapati pekerja di Malaysia dibayar kurang daripada pekerja di negara maju sedangkan mereka menyasarkan tahap produktiviti yang sama.

Untuk output bernilai US$1,000 (RM 4,083.00), pekerja di Malaysia dibayar US$340 (1388.22) berbanding US$510 (RM 2082.33) di negara maju yang mengeluarkan nilai output yang sama.

Analisis lanjut mendedahkan yang kebanyakan industri di Malaysia membayar pekerja dengan gaji yang kurang dari negara maju, walaupun setelah disesuaikan dengan produktiviti.

Ini jelas kelihatan dalam perdagangan borong dan industri runcit, makanan, minuman, dan penginapan, yang terdiri dari 19% aktiviti ekonomi negara dan 27% jumlah pengambilan pekerja di Malaysia. industri-industri ini lebih banyak menggunakan dan bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah.

Dinamik pasaran buruh di Malaysia juga mengalami perubahan seperti ekonomi perkongsian yang semakin berkembang, kemunculan teknologi dan permintaan terhadap beban kerja yang fleksibel sedang mentransformasikan sifat pasaran buruh Malaysia

Ia mendapati bahawa semakin ramai bekerja sendiri di mana jumlahnya meningkat dari 10.9% pada 2010 kepada 15.4% pada 2017.

Profesor Ekonomi Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, pengurangan jumlah gaji pemegang ijazah ialah kerana jumlah pemegang ijazah dengan jumlah peluang pekerjaan yang wujud tidak padan.

Ada antara pemegang ijazah terpaksa menerima kerja yang menawarkan gaji lebih rendah, kalau tidak, mereka tidak bekerja.

Kita tidak mencipta cukup peluang pekerjaan untuk membolehkan graduan kita memilih.

Ketua Setiausaha Kongres Kesatuan Perdagangan Malaysia, J .Solomon berkata, laporan itu menunjukkan yang pekerja di Malaysia, kecuali eksekutif kanan, masih tidak mendapat gaji yang berpadanan dengan kelayakan mereka.

Tahap bayaran gaji diturunkan secara tidak sepatutnya oleh majikan, sedangkan mekanisme kerajaan pula terlalu lemah untuk memberi penekanan kepada isu ini.

Dia berkata, terdapat mereka yang menjana lebih kemewahan dari yang lain, dan jurang pendapatan pula semakin meluas di negara ini, dan ia perlu diberi penekanan oleh sektor swasta dan sektor awam.

Dia juga menambah bahawa, walaupun terdapat peningkatan pada jumlah bayaran gaji permulaan buat mereka yang berkelayakan PMR dan SPM dalam tahun kebelakangan ini, pendapatan mereka sebenarnya masih di bawah gaji minimum. – amazingnara.com via The Star

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...