Sebuah kapal persiaran dilaporkan berlayar di sekeliling Asia tanpa hala tuju selama lebih dua minggu tanpa henti. Kapal persiaran itu tidak diterima oleh lima buah negara untuk berlabuh gara-gara bimbang penyebaran wabak coronavirus dari Wuhan.
Sebelum ini, sebuah kapal mewah Diamond Princess dikuarantin selepas salah seorang penumpangnya dijangkiti wabak itu. Penumpang yang berada di atas kapal yang berlabuh dari pelabuhan Yokohama, Jepun itu dikuarantin di bilik masing-masing sementara kerja pembersihan dilakukan.
Thailand menjadi negara kelima yang tidak menerima kemasukan kapal itu selepas Taiwan, Jepun, Filipina, dan Guam. Kapal yang membawa 1,455 penumpang dan 802 anak kapal itu telah berlayar mengelilingi Taiwan dan jepun selama 14 hari.
Menteri Kesihatan Thailand iaitu Anutin Charnvirakul memberi kenyataan melalui Facebook memberitahu larangan membenarkan kapal persiaran itu berlabuh di negara itu yang dijadualkan pada 13 Februari ini.
Manakala, Menteri Pengangkutan Thailand iaitu Atirat Ratanasate memberitahu Thailand bersedia untuk memberikan bantuan makanan dan perubatan untuk membantu kapal itu terus berlayar. Buat masa ini, tiada kes laporan jangkitan coronavirus dalam kalangan penumpang.
Berdasarkan jadual asal, kapal ‘Holland America Line’ dijadualkan berlabuh di Yokohama, Jepun pada 15 Febuari ini dan melawat beberapa lokasi perlancongan seperti Okinawa dan Fukuoka. Para penumpang dijangkakan akan menerima bayaran balik sepenuhnya dan kredit pelayaran.