Mengakui dirinya tidak kisah sekiranya perlu bermula semula daripada bawah selepas lama menyepikan diri daripada industri muzik, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hantu Atau Buaya, Nana Sheme sedar kerjaya muziknya kini agak suram selepas mengambil keputusan untuk memberikan fokus kepada pengajiannya di universiti sebelum ini.
Biarpun begitu, kata Nana walaupun kerjaya muziknya agak perlahan, namun dirinya sentiasa percaya akan ada rezeki untuknya suatu hari nanti.
“Saya tidak berasa kecewa dengan jalan yang saya pilih sebelum ini untuk berehat seketika. Bahkan, saya rasa lega lepas dapat tunaikan amanat arwah ibu untuk saya utamakan pelajaran.”
Ujar Nana lagi, beliau kini amat terbuka untuk menerima mana-mana peluang yang datang. Malah tetap bersyukur masih ada pihak yang mengingatinya lagi.
“Jadi, sekarang ini, saya terbuka untuk menerima mana-mana peluang yang datang.Saya juga tidak kisah sekiranya perlu bermula semula dari bawah semula seperti mula-mula dulu.”
Nana muncul dengan single terbaharu berjudul Ragu-Ragu. Muzik video lagu tersebut juga dikhabarkan sudah mencecah lebih 1 juta tontonan di YouTube.
Untuk rekod, Nana merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan Kelas Pertama dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Sumber: Gempak