Seorang pemandu bas di wilayah Jiangsu di China menghadapi pertuduhan jenayah setelah kenderaan yang dipandunya bertembung dengan seorang penunggang basikal kerana dia melihat telefon bimbitnya sewaktu memandu.
Apabila siasatan dilakukan, polis Zhejiang meneliti rakaman pemantauan dari kamera keselamatan bas dan mendapati bahawa lelaki itu yang dinamakan Gao, menggunakan telefon sebanyak 39 kali dalam masa tujuh minit. Ini seterusnya menyebabkan dia melanggar penunggang basikal tersebut, lapor Sina News.
Gao sedang memandu pada kelajuan 70km sejam apabila memandang ke telefon bimbitnya untuk memeriksa panggilan terlepas. Sebaik saja melihat semula ke arah jalan raya, bas yang dipandu olehnya bertembung dengan seorang lelaki tua yang melintas simpang menggunakan basikal.
Penunggang basikal itu disahkan meninggal dunia sebaik saja sampai ke hospital. Lesen memandu Gao ditarik balik dan dia bakal berdepan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah.