Satu pasangan lanjut usia di wilayah Hunan, China telah berkahwin sejak tahun 1946, tetapi hanya kini, setelah 68 tahun berkahwin mereka memakai pakaian perkahwinan untuk kali pertama.
Heqin Zou ialah seorang pesara tentera berusia 93 tahun yang terlibat dalam peperangan di China. Dia menyertai tentera pada usia 17 tahun dan terlibat dalam peperangan di Kunlun Pass. Setelah perang China-Jepun terhenti dia kembali ke kampung halaman dan diperkenalkan pada Cunhua Chen, yang dikahwininya pada tahun 1946.
Oleh kerana baru pulih dari peperangan, keadaan ekonomi China tidak mengizinkan mereka mengadakan majlis bankuet (yang merupakan kewajipan untuk pasangan cina yang baru berkahwin), mahupun membeli cincin perkahwinan dan mengambil foto perkahwinan.
Apabila sekumpulan sukarelawan melawat pesara-pesara tentera, mereka terjumpa pasangan ini dan sangat terkesan dengan kisah hidup mereka. Setelah membuat perancangan dan mendapatkan dana mereka berjaya mendapatkan syarikat fotografi yang sudi mengambil foto perkahwinan pasangan tadi secara percuma.
Walaupun keduanya mengalami kesukaran untuk berjalan akibat usia mereka, keduanya berjalan berpimpinan tangan untuk memenuhi impian mereka sejak sekian lama, iaitu mengambil gambar perkahwinan!
Laporan asal: ETToday
Gambar/rujukan: Hunan.voc.com.cn