1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 4

Trending

1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 4

Bahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4

Dalam satu panggilan telefon Mahony kepada Laura yang dirakam, Mahony seolah-olah mempunyai obsesi dengan Rewcastle Brown, yang digelar olehnya sebagai ‘b**ch’. Panggilan itu dirakam pada November 2015, dan Mahony ada merujuk secara samar-samar kepada ‘seseorang yang mempunyai kuasa’ untuk meringankan hukuman terhadap Justo:

Advertisement

Aku dah beritahu sebelum ini siapa orang sebenar yang kawal semua ini, dan aku akan berjumpa dengannya tak lama lagi. Dia ni masih rasa tertekan kerana kerjaya politiknya jadi pertaruhan. Dia sedang menghadapi masalah besar. Itu saja yang dia peduli, lain tidak.

Apabila Laura bertanya apa yang patut dia beritahu pada suaminya, Mahony berkata:

Satu-satunya cara untuk engkau tunjukkan yang kau sedang berusaha untuk menolongnya, ialah dengan keluar dalam media. Jika kau berani, kau kena berjumpa pihak media untuk mengatakan siapa saja yang cuba menentang ‘dia’ berada di pihak yang salah. Aku takkan berbohong dengan engkau. Sama ada kau nak tolong dia dengan cara itu, atau tak nak.

Apabila Laura mendesak meminta Justo dibebaskan, Mahony tersentap:

Tiap hari aku kena hadap benda ni. Kau kena ingat, kami semua sedang bermasalah. Aku tahu dia ada di penjara dan kau seorang diri dengan bayi tu. Dan aku dah tengok engkau dan aku simpati. Tapi aku pun ada masalah. Dan ramai orang lain terlibat dalam masalah ni. Perdana Menteri sebuah negara kini ada dalam masalah besar sebab dia dah diletakkan dalam masalah ni.

Pada Disember 2015, Mahony mengaku dalam satu panggilan telefon yang lain bahawa dia telah pergi ke AS, di mana Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat pendedahan Justo dan dia juga dipanggil oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland. Kata Mahony:

Orang Switzerland terus beri kami masalah. Mereka tahu mereka tiada bukti, tetapi mereka takut dituduh tak cuba lakukan apa-apa (tentang 1MDB).

Petrosaudi berkata yang ia akan memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa rasmi di mana-mana saja dan ia tidak disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa. Namun, Mahony sebenarnya masih belum ditemu bual oleh pegawai kerajaan dari AS mahupun Switzerland.

Lembaga Pengarah 1MDB berkata yang ia ‘yakin bahawa tiada salah laku telah dilakukan’. Tetapi sebagai ‘kaedah berhati-hati’, penyata kewangan syarikat untuk tahun 2013 dan 2014 ‘tidak lagi boleh dipercayai oleh mana-mana pihak’.

Najib telah mengatakan yang dia tidak melakukan ‘sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku’. Pada awal 2016, bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, memberitahu Najib bersih dari sebarang salah laku.

Laura telah meninggalkan Thailand bersama bayinya, kembali ke Swizerland setelah diugut oleh Mahony dan Obaid bahawa dia akan ditahan oleh pihak berkuasa Thailand jika menyebarkan kepada orang ramai mengenai perangkap yang dibuat oleh mereka terhadap Justo. Sejak itu dia tidak dapat bercakap dengan Justo. Namun begitu, disebabkan kes Justo mula diberitakan dengan meluas oleh media barat, ia juga mula mendapat perhatian pihak berkuasa Thailand. Menurut Sarawak Report:

Syukur, saya dengar keadaannya di penjara semakin baik sejak berita mengenai apa yang berlaku dikeluarkan. Saya rasa pihak berkuasa Thailand sedar yang semua orang telah dipermainkan (oleh Mahony dan Obaid) dalam hal ini.

Pada Ogos 2016, Justo telah diberikan pengampunan diraja dan disahkan akan dibebaskan dari penjara dan dihantar balik ke Switzerland.

Pada September 2016, Laura menyuarakan kebimbangan bahawa terdapat campur tangan dari Malaysia untuk menghalang Justo dibebaskan dari penjara. Sarawak Report melaporkan, beberapa hari sebelum kertas pengampunan Justo ditandatangani Raja Thailand, Najib telah membuat lawatan ke Bangkok.

Justo diletakkan sebagai agenda utama untuk percakapannya dengan Thailand dalam lawatan itu. Najib telah menyatakan kepada Bangkok bahawa dia mahukan Justo diekstradisi ke Malaysia, walaupun tiada bukti Malaysia punya bidang kuasa untuk hak ekstradisi dalam kes ugutan itu.

Sumber Sarawak Report juga memberitahu bahawa Thailand enggan membenarkan permintaan ekstradisi tersebut. Permintaan itu juga khabarnya dicabar oleh pihak berkuasa Switzerland yang mempercayai rakyatnya itu menjadi sasaran kerana mendedahkan mengenai perjanjian 1MDB dengan Petrosaudi.

Pada 7 Oktober 2016, Tarek Obaid dan Patrick Mahony membuat kenyataan melalui peguam mereka, menafikan dakwaan bahawa mereka telah memerangkap Justo untuk membuat pengakuan kepada pihak berkuasa Thailand untuk ‘menguburkan kes tersebut’.

Mereka juga menafikan mempunyai kuasa untuk mengawal pihak berkuasa Thailand berkenaan keadaan Justo di penjara dan berapa panjang hukuman penjara dikenakan ke atasnya. Mereka juga menafikan telah mengupah seorang lelaki untuk mengaku sebagai detektif Scotland Yard bagi memerangkap Justo dan mendapatkan pengakuannya.

Pertengahan Disember 2016, Laura mendakwa menerima amaran dari pihak tertentu sebanyak dua kali bahawa nyawa suaminya dalam bahaya. Sarawak Report mengesahkan menerima maklumat bahawa terdapat operasi ‘Black Ops’ dari Malaysia untuk memastikan ‘kemalangan’ menimpa Justo dalam perjalanan dari penjara (di mana dia dilindungi), kemudian ke Imigresen dan lapangan terbang.

Laura telah memberi pemakluman terhadap peguam-peguamnya, Kedutaan Swiss, serta beberapa pihak penguatkuasaan undang-undang antarabangsa mengenai ancaman tersebut.

Pada 20 Disember 2016, Justo telah dibebaskan dari penjara oleh pihak berkuasa Thailand, dihantar ke Imigresen dan kemudian ke lapangan terbang dengan kawalan ketat sepasukan anggota komando Thailand dan sekumpulan pemberita antarabangsa. Justo telah pulang dengan selamat ke Switzerland untuk bertemu dengan isteri dan anak lelakinya.

Namun begitu, kesan dari pendedahan yang dibuat oleh Justo masih bergetar di seluruh dunia. Apabila DoJ memfailkan saman terhadap 1MDB pada Jun 2016, ia tidak menyembunyikan apa yang berlaku. Kata Timbalan Pengarah FBI, Andrew McCabe:

Rakyat Malaysia telah dikhianati dalam skala yang sangat besar.

Dalam satu kes lain, DoJ juga turut menyiasat sama ada Goldman Sachs telah melanggar undang-undang perbankan AS dalam menguruskan tawaran bon bernilai $6.5bn (RM 25.9 bilion) untuk 1MDB. Bank Wall Street yang terkenal itu menerima yuran sebanyak $593m (RM 2.36 bilion) untuk memproses pengeluaran bon-bon tersebut. Goldman Sachs menafikan ia melanggar mana-mana peraturan. Bank itu memberitahu Guardian:

Kami membantu meraih wang untuk satu dana negara yang direka bagi dilaburkan di Malaysia. Kami tidak tahu sama ada wang tersebut kemudiannya dilencongkan untuk tujuan-tujuan lain (oleh 1MDB).

Apa yang paling penting ialah tuduhan-tuduhan yang dibuat DoJ bertentangan dengan beberapa kenyataan Najib mengenai sumber dan tujuan wang bernilai RM 2.6 bilion yang akhirnya dimasukkan ke akaun bank peribadinya—yang didakwanya sebagai derma dari seorang pembiaya Saudi.

Pemfailan saman oleh DOJ (yang bertujuan untuk mendapatkan kembali semua aset AS yang dibeli menggunakan wang rakyat Malaysia yang dikhianati oleh para konspirator 1MDB) berlaku pada satu tempoh di mana demokrasi semakin ditekan di Malaysia.

Pada 1 Ogos 2016, Akta Majlis Keselamatan Negara yang diperkenalkan oleh Najib telah dikuatkuasakan—memberi kebenaran kepada kerajaan Malaysia untuk membentuk undang-undang tentera di mana-mana kawasan geografi yang ditetapkan. Akta itu, secara dramatik, akan menambah kuasa pasukan keselamatan Malaysia—membolehkan penahanan, pencarian dan rampasan tanpa waran dan juga membenarkan bangunan diruntuhkan menggunakan buldozer.

Tetapi di tempat lain di seluruh dunia, penyiasatan terhadap kes korupsi yang mengejutkan itu semakin berkembang.

Pada April 2016, Emiriyah Arab Bersatu telah membekukan akaun berisi wang berjumlah ratusan juta dolar dalam akaun bank yang dimiliki oleh rakan subahat dalam penyelewengan 1MDB dan mengharamkan pemilik-pemilik akaun itu untuk keluar dari UAE. Mereka ialah Khadem Al Qubaisi, Pengarah Urusan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Mohammed Badawy Al Husseiny, Ketua Eksekutif Aabar Investments PJS, yang dimiliki oleh IPIC.

Singapura menemui ‘salah penilaian dan kelemahan’ di beberapa bank besar tentang kawalan penggubahan wang haram. Buat pertama kali dalam sejarah pulau itu, pihak berkuasa telah menutup Bank BSI dan Bank Falcon Private kerana kes berkaitan 1MDB pada Oktober 2016.

Manakala bekas pengurus cawangan Falcon Bank, Jens Fred Sturzeneger dijatuhkan hukuman penjara 28 minggu dan denda S$128,000 (RM 380,274.47). Yvonne Seah bekas pegawai bank BSI dihukum penjara 2 minggu dan denda S$10,000 (RM 29,708.94).

Kerana menguruskan wang haram untuk 1MDB, Bank DBS didenda S$1 juta (RM 2.97 juta), Bank UBS didenda S$1.3 juta (RM 3.86 juta), Credit Suisse Bank pula didenda S$700,000 (RM 2 juta), UOB Bank didenda SD900,000 (RM 2.67 juta).

Di Switzerland, DoJ mengenal pasti RBS Coutts dan Bank Rothschild sebagai saluran transaksi kes korupsi 1MDB. Pejabat Peguam Negara Switzerland telah menyiasat bank-bank tersebut.

Pada Feb 2017, RBS Coutts telah didenda sebanyak $6.56m (RM 26.14 juta) kerana melanggar undang-undang penggubahan wang haram dalam transaksi dengan 1MDB.

Pada April 2017, model Australia Miranda Kerr telah menyerahkan barang kemas bernilai $US8.1m (RM 32.27 juta) kepada DoJ setelah pendakwaraya menyatakan barang kemas itu dibelikan untuknya oleh pembiaya dari Malaysia (Jho Low) menggunakan wang yang dirompak dari rakyat Malaysia.

Barang kemas itu termasuk aguk (pendant) bertatahkan berlian 8.88 karat rekaan Lorraine Schwartz, yang di simpan dalam peti keselamatan deposit.

Pada Jun 2017 pula, Bank Rothschild telah didenda sebanyak hampir 9 juta Euro (RM 45 juta) kerana gagal melaksanakan kaedah perlindungan untuk menghalang penggubahan wang haram berkait dengan 1MDB. Bulan yang sama, Yak Yew Chee bekas penyelia di Bank BSI dihukum penjara 18 minggu dan denda S$24,000 (RM 71,344.70). Beliau juga diperintahkan supaya menyerahkan asetnya sebanyak S$7.5 juta (RM 22 juta) kepada kerajaan Singapura.

Pada Jun 2017, pihak berkuasa Hong Kong juga bertindak mengenakan denda USD901,000 (RM 3.6 juta) ke atas Coutts Bank cawangan Hong Kong atas kesalahan menguruskan penggubahan wang haram susulan tindakan sama di Switzerland dan Singapura berhubung skandal 1MDB Malaysia.

Juga pada Jun 2017, Leonardo DiCaprio yang merupakan pelakon utama The Wolf of Wall Street telah menyerahkan kembali piala Oscar yang pernah dimenangi oleh aktor Marlon Brando. Piala itu diberi sebagai hadiah kepadanya oleh Red Granite Pictures kerana berlakon dalam filem tersebut.

Leonardo telah memberi kerjasama penuh kepada penyiasatan DoJ dan menyatakan akan menyerahkan kembali semua item yang dihadiahkan kepadanya oleh Red Granite termasuk dua lukisan asli Picasso dan Basquiat, serta gambar-gambar fotografi Diane Arbus. Kesemua item itu dibeli menggunakan wang yang digubah secara haram dari dana rakyat Malaysia, 1MDB.

Leonardo juga tidak melakukan sebarang kesalahan kerana dia tidak tahu item yang dihadiahkan kepadanya, dibeli menggunakan wang yang digubah secara haram dari 1MDB.

Pengasas Petrosaudi bersama Obaid, Putera Turki bin Abdullah, 47,  telah ditahan sejak November 2017 oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman di Hotel Ritz Carlton, Riyadh bersama 380 orang putera dan pegawai lain atas tuduhan rasuah antaranya melibatkan 1MDB. Nasibnya tidak diketahui, namun pengiringnya Mejar Jeneral Ali al-Qahtani, yang turut ditahan dalam penyiasatan itu, mengikut siasatan New York Times, terbunuh dalam tahanan dan mayatnya terdapat kesan penyeksaan.

Pada Mac 2018, Red Granite Pictures telah diarahkan untuk membayar $60m (RM 239 juta) kepada DoJ untuk menyelesaikan tuduhan bahawa ia membuat keuntungan dari skandal 1MDB. Riza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite bersetuju membayar jumlah itu, mendakwa dia tidak mengetahui dana yang digunakan datangnya dari 1MDB. Pendakwa raya menuduh bahawa dia menggunakan lebih dari US$100mil (RM390mil) dari 1MDB untuk membiayai kos pembikinan “The Wolf of Wall Street”, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”.

DoJ sedang berusaha untuk merampas aset-aset yang dituduhnya telah dibeli oleh Riza menggunakan dana 1MDB. Antaranya hartanah mewah, termasuk kondominium US$35mil (RM 136 juta) di New York, deretan rumah bernilai US$41.8mil (RM 163 juta) di London dan rumah agam bernilai $US17.5mil (RM 68 juta) di Beverly Hills.

Kebangkitan Pakatan Harapan Di Malaysia

Di Malaysia, Mahathir yang beraspirasi ‘ingin menyelamatkan negara’ telah menubuhkan Parti Pribumi Bersatu, sebuah parti politik yang lahir selepas pemecatan Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pergantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada UMNO pada 24 Jun 2016 (kerana mengkritik Najib mengenai 1MDB).

Muhyiddin, Mukhriz telah bekerjasama dengan Mahathir untuk menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib dalam Pilihanraya Umum Ke-14.

Parti ini kemudiannya bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Shafie pula menubuhkan Parti Warisan Sabah dan menumpukan untuk memenangi pilihanraya di Sabah.

BN telah menggunakan semua kelebihan yang ada padanya untuk melobi undi, termasuk media massa seperti stesen televisyen dan penerbitan akhbar. Iklan BN juga dipaparkan di stesen-stesen pengangkutan awam dan kenderaan seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad dan MRT.

PH menggunakan medium komunikasi bersemuka dengan rakyat serta media sosial. Antara topik utama yang diperkatakan dalam ceramah-ceramah PH ialah 1MDB dan ia mendapat sambutan hangat.

Dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018 yang juga disulami kontroversi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH telah mengalahkan BN dalam satu keputusan pilihanraya yang mengejutkan.

Ia mencatat sejarah sebagai pilihanraya yang telah menumbangkan kerajaan persekutuan BN (yang pernah dipimpin Mahathir) yang telah memerintah sejak kemerdekaan selama 61 tahun. Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan faktor kemenangan Pakatan Harapan adalah ‘kecurangan pengurusan kewangan di Putrajaya, skandal 1MDB dan kos sara hidup yang tinggi.’

Dengan kemenangan PH, ia membentuk kerajaan persekutuan. Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 10 Mei 2018 setelah Najib bersetuju menjalankan proses pemindahan kuasa.


Shafie telah memenangi pilihanraya dan menjadi Ketua Menteri Sabah menggantikan Ketua Menteri sebelum ini yang mewakili BN, Tan Sri Musa Aman.

Penyiasatan Semula 1MDB di Malaysia

Antara perkara yang menjadi keutamaan Mahathir selepas pelantikannya sebagai PM, ialah menyiasat mengenai skandal 1MDB memandangkan dia kini mempunyai kuasa terhadap pentadbiran kerajaan persekutuan. Ia juga merupakan salah satu manifesto PH sebelum PRU14.

Pendedahan demi pendedahan mengenai 1MDB mengejutkan ramai pihak. Dalam satu sidang media, Mahathir mengesahkan bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah dipecat dari jawatannya pada tahun 2015 kerana hendak mendakwa Najib atas tuduhan korupsi.
Shukri-_Abdull-_AFP-1
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull kemudiannya membuat pembongkaran berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad selepas beliau bersara wajib dari SPRM pada 4 Oktober 2016.

Dia mendakwa terpaksa lari ke Amerika Syarikat dan mendapatkan perlindungan dari polis New York disebabkan diekori kerana siasatannya terhadap 1MDB. Nyawanya juga hampir terkorban.
justomahathir

Justo telah datang ke Malaysia untuk membantu siasatan 1MDB dan buat pertama kalinya bertemu dengan Mahathir. Menulis di Facebook dia berkata:

Keistimewaan yang hebat. Saat yang mengagumkan!

Justo telah datang dua kali ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

FBI dan DoJ akan memberi kerjasama kepada kerajaan Malaysia untuk siasatan 1MDB. Satu kenyataan telah dikeluarkan dalam pertemuan dengan kerajaan Malaysia:

Pihak FBI  menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada , Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

Pihak DoJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada 22 September 2017.  Bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini.

Setakat hari ini, Najib telah datang ke ibu pejabat SPRM sebanyak  dua kali dalam dua hari untuk disoal siasat selama 11 jam.

Menteri Kewangan baru (yang menggantikan Najib), Lim Guan Eng, mendedahkan Kementerian Kewangan menanggung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM6.98 bilion sejak April 2017 dan bukan program rasionalisasi syarikat berkenaan seperti dakwaan Najib sebelum ini. Lim berkata:

Perkara ini mengesahkan rasa curiga umum mengenai 1MDB yang selama ini mengaburi rakyat dengan mendakwa mereka telah membayar hutang menerusi program rasionalisasi yang berjaya sedangkan Kementerian Kewangan yang selama ini menyelamatkan 1MDB.

Lebih buruk, senarai pembayaran hutang terkini itu hanya membabitkan faedah, bayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC.

Itu belum lagi mengambil kira hutang berbilion ringgit yang akan matang bermula tahun 2022.

 

Memetik The Star Online, Justo mengatakan semasa bekerja di Petrosaudi, dia mengesyaki ada yang tidak kena dengan urusan syarikat itu dengan 1MDB.

Hanya Tarek Obaid dan Patrick Mahony yang ada akses penuh kepada akaun, tetapi saya tahu ada yang tak kena.

Memang ada komisen dalam perniagaan minyak. Memang macam tu, tak perlu jadi naif. Perniagaan minyak bermakna rasuah.

Tapi kalau ambil 1 atau 5 peratus tu perkara biasa. Ambil sampai lebih 80 peratus tu memang melampau. Saya tahu ada yang tak kena, tapi tak sangka pula ia segila ini.

Sukar dipercayai betapa tamak dan betapa gila mereka itu semua. Mereka benar-benar fikir apa yang ada di bank negara Malaysia itu mereka punya.

Jadi kita perlu 1 bilion. Kemudian nak lagi 3 bilion. Caranya, jom kita keluarkan bon untuk cagaran yang tidak wujud. Kita perlu lebih lagi. Jom buat macam ni. Mereka memang fikir wang rakyat Malaysia wang mereka.

Nekad untuk membantu rakyat Malaysia, Justo mengakui telah berubah setelah apa yang terjadi.

Saya tak pernah disabitkan bersalah untuk apa-apa pertuduhan (Justo diperangkap untuk mengaku bersalah). Saya seorang ahli perbankan yang berjaya. Saya tak perlukan semua ini, tapi ia dah berlaku, jadi jika ada orang fikir saya jahat, biarlah.

Jika orang fikir saya wira, saya bukan wira. Wira sebenar ialah rakyat Malaysia.

Segalanya baik-baik saja. Percayalah, dulu saya memang suka hidup mewah. Kini saya dah tak peduli. Saya hanya mahu bersama kawan-kawan dan keluarga.

Dulu, saya hanya akan minum wain Perancis. Kini, saya tak peduli kalau anda beri saya wain paling tak sedap di muka bumi.

Saya hanya perlu dekat dengan orang yang saya sayang. Umur saya 52 tahun. Hidup begini pun menarik. Saya tak peduli tentang kemewahan lagi.

Nota: Jho Low, Tarek Obaid dan Patrick Mahony masih di luar sana, dipercayai bersembunyi.

TAMAT

Diterjemah, disusun oleh Serenity untuk amazingnara.com

Sumber: The Guardian, The Star, Sarawak Report, Berita Harian, Gulf Times, Fortune, Straits Times, Malay Mail, Channel News Asia, Financial Times,Bloomberg, Al-Jazeera

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Comments are closed.

Loading...