1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 3

Trending

1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 3

Bahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4

Beberapa bulan kemudian, semasa sedang makan makanan cina di London, seorang pemberita terdengar khabar angin mengenai satu kes penyelewengan luar biasa di Malaysia.

Advertisement

Clare Rewcastle Brown, bertemu dengan seseorang di sebuah restoran di Bayswater. Individu itu menunjukkan kepadanya salinan skrin dokumen dalaman dari urusan-urusan Petrosaudi dengan 1MDB dalam sehelai kertas bercetak.

Terdapat maklumat perjanjian-perjanjian Petrosaudi dengan 1MDB, di bawah tajuk: ribuan dokumen mengenai perjanjian Petrosaudi-1MDB (e-mel, faks dan transkrip). Brown cam nama-nama yang tertulis dan perjanjian itu. Hatinya berdebar. Brown mengimbas semula:

Rasa macam bom meletup dalam kepala.

Brown tahu serta merta bahawa cerita ini sangat mengejutkan.

Rewcastle Brown ialah seorang wanita yang suka mengkritik organisasi. Dia dilahirkan di kepulauan Borneo, yang kini menjadi sebahagian dari Malaysia.

Semasa ia masih di bawah penjajahan empayar British, bapanya ialah seorang pegawai polis kolonial dan ketua perkhidmatan risikan tempatan. Abang iparnya ialah bekas Perdana Menteri British, Gordon Brown.

Setelah bekerja sebagai pemberita di BBC, pada tahun 2010, Rewcastle Brown mewujudkan Sarawak Report, satu laman sesawang yang didedikasikan untuk mendedahkan korupsi di tanah kelahirannya.

Hanya beroperasi dari dapur kecil rumahnya, dia memuat naik cerita demi cerita pendedahan korupsi dalam industri pembalakan dan minyak yang merosakkan hutan hujan negara Malaysia demi mengaut keuntungan.

E-melnya pernah digodam dan dia pernah diugut bunuh, tetapi dia tetap meneruskan laman sesawangnya. Pada awal 2013, dia pernah digelar ‘musuh negara’ oleh ahli-ahli politik Malaysia. Rewcastle Brown tidak gentar, malah rasa bangga.

Dirinya yang sebenar seorang yang kelakar tetapi berani, kadangkala dia tidak sedar dia mendesak. Ayat yang sering disebutnya:

Saya hanya mahu tahu kisahnya.

Setelah pertemuan di Bayswater, Rewcastle Brown yang dia perlukan dokumen 1MDB tersebut. Halangannya ialah, individu yang memiliki dokumen itu mahukan bayaran bernilai jutaan dolar untuk membocorkan maklumat tersebut. Dan Brown tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Satu lagi masalah ialah, tiada wartawan Malaysia yang mahu menyentuh cerita tersebut. Di Malaysia, Perdana Menteri baru saja memenangi pilihanraya dengan tipis, dan sangat berkuasa. Khabar angin berlegar mengenai dokumen-dokumen Petrosaudi tersebut—ada yang mengatakan ia disimpan oleh Mafia dari Rusia, ada juga yang menganggap dokumen itu satu perangkap, yang diwujudkan oleh Perdana Menteri untuk menjejaki mereka yang mengkritik dirinya.

Tidak berganjak dari keputusannya, Rewcastle Brown mengatur pertemuan dengan individu yang menyimpan dokumen itu melalui orang hubungannya. Pada Oktober 2014, dia muncul di lobi hotel Plaza Athénée, Bangkok. Dia memberitahu suaminya bahawa dia mahu menemui seorang ‘lelaki Swiss yang pendek, berkepala hampir botak’.

Sebaliknya, Xavier Justo yang berbadan sasa dengan ketinggian 6 kaki 6 inci yang melangkah masuk ke dalam foyer. Rewcastle Brown berhadapan dengan “seorang yang besar tinggi dan sangat elegan”. Brown berfikir:

Ya tuhan, dia akan belasah saya.

Tetapi Justo mengakui dia juga merasa takut sama seperti Brown. Wanita itu memberitahu, Justo kelihatan sangat gementar dan berkali-kali memberi amaran bahawa:

Kita berhadapan dengan manusia yang sangat kejam, mempunyai wang yang banyak, dan sangat berkuasa. Mereka boleh buat apa saja pada kita.

Justo memberitahu Rewcastle Brown dia mahukan $2m (RM 7.95 juta)  untuk pertukaran dengan dokumen Petrosaudi-1MDB. Katanya, dia sepatutnya dibayar sebanyak itu semasa meninggalkan Petrosaudi.

Walaupun sudi berkongsi beberapa dokumen dalam pertemuan itu, Justo bertegas bahawa: tiada wang tunai, tiada data. Rewcastle Brown perlu mencari seorang yang kaya raya untuk membayar bagi mendapatkan dokumen itu.

Pada masa ini, rasa prihatin mengenai 1MDB mula merebak di Malaysia. Penganalisis kewangan menyatakan, 1MDB gagal menjana wang yang cukup untuk membayar faedah terhadap hutang berbilion dolar yang telah ia buat.

Wang bernilai beratus juta yang telah dibelanjakan untuk membeli lukisan, barang kemas, hartanah, perjudian dan parti-parti tidak menjana pulangan “pelaburan” (ROI). Pada 2014, musuh politik Najib telah mengejek bahawa 1MDB sepatutnya ditukar kepada nama “1Malaysia’s Debt of Billions”.

Pada Ogos 2014, Najib menerima satu lagi bahana politik. Tun Mahathir Mohamad, seorang tokoh politik moden Malaysia yang memegang jawatan Perdana Menteri sejak 1981 hingga 2003, mengumumkan yang dia menarik balik sokongan terhadap Najib, yang pernah menjadi anak didiknya.

Minggu-minggu seterusnya, Mahathir semakin lantang mengkritik Najib, memberi amaran bahawa 1MDB menambah kepada hutang negara yang sememangnya sudah tinggi.

Amaran ini tidak diendahkan. Hutang 1MDB meningkat. Pada November 2014, 1MDB berhutang sehingga $11bn (RM 44 bilion). Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB, nampak tidak kisah, memberitahu agensi berita tempatan bahawa hutang 1MDB tidak akan ditanggung oleh kerajaan walaupun syarikat itu bankrap.

Apabila krisis ini menjadi semakin serius, Rewcastle Brown meneruskan usahanya mencari individu yang sanggup membayar wang yang diminta Justo sebagai pertukaran dengan dokumen-dokumen Petrosaudi dan 1MDB.

Dia perasan bahawa agensi yang paling mencari berita tentang skandal 1MDB ialah akhbar perniagaan mingguan Malaysia yang paling laris, Edge. Merasakan dia mungkin telah menemui sekutu yang berkemampuan, Rewcastle Brown menghubungi pemilik Edge, Tong Kooi Ong, seorang bekas ahli perbankan yang menjadi hartawan media. Tong memiliki beberapa penerbitan bertemakan perniagaan.

Pada Januari 2015, Tong, Rewcastle Brown dan Justo bertemu di sebuah hotel lima bintang di Singapura, Hotel Fullerton. Tong menempah bilik konferensi serta membawa bersama beberapa orang pakar teknologi maklumat, serta editor Edge, Kay Tat.

Dalam pertemuan itu, Justo menerangkan tentang projek kerjasama 1MDB dengan Petrosaudi, mendakwa bahawa ratusan juta dolar yang sepatutnya dibelanjakan untuk pembangunan ekonomi di Malaysia telah dilencongkan kepada syarikat berpangkalan di Seychelles. Lelaki yang bertanggungjawab melakukan transaksi-transaksi itu ialah Jho Low, penasihat dan rakan keluarga Najib.

Ianya satu berita yang sangat mengejutkan. Tong bersetuju untuk membayar jumlah wang yang diminta oleh Justo, iaitu $2m (RM 7.95 juta). Tong dan Rewcastle Brown serta-merta diberikan cakera keras yang mengandungi semua data tersebut.

Tetapi bayaran tidak dibuat kepada Justo kerana dia tidak mahukan wang tunai dan dia bimbang jika pemindahan sejumlah wang yang sebegitu besar ke akaun banknya akan kelihatan mencurigakan.

Tong menawarkan salah satu lukisan Monet miliknya kepada Justo sebagai cagaran. Tetapi Justo menolak dan berkata:

Tak perlu, saya percayakan awak.

Rewcastle Brown akhirnya mendapat dokumen yang telah dikejarnya selama enam bulan.

Pada 28 Februari 2015, Rewcastle Brown memuat naik cerita besar pertama mengenai 1MDB ke atas talian dengan tajuk sensasi: “ROMPAKAN TERBESAR ABAD INI!”. Artikel ini mendakwa akan menerangkan bagaimana $700m (RM 3.73 bilion) telah lesap dari projek kerjasama 1MDB dengan Petrosaudi dan dilencongkan kepada pelbagai syarikat luar pesisir dan akaun-akaun bank Swiss.

Impak artikel ini dirasakan di seluruh dunia. Di AS, pegawai penguatkuasaan undang-undang yang telah diberi pemakluman mengenai laporan-laporan bahawa Low telah membelanjakan jumlah wang yang sangat banyak untuk membeli sejumlah apartmen di New York kini menetapkan untuk menyiasat sumber kemewahan lelaki itu.

Semasa membuat penyelidikan mengenai kisah itu, Rewcastle Brown telah bekerjasama dengan Sunday Times, yang telah bantu membuka beberapa dokumen yang dilindungi kata laluan. Akhbar itu telah menerbitkan temu bual dengan Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang meminta agar penyiasatan segera dan pengauditan dilakukan.

Seseorang mesti telah melakukan perkara bodoh untuk berpisah dengan wang berjumlah $700m (RM 3.73 bilion), atas sebab yang tidak bagus dari apa yang saya lihat.

Di Malaysia, respons diberi dengan serta merta. Pada Mac 2015, pengurusan 1MDB mendakwa yang ia telah menamatkan projek kerjasama itu pada 2012, dan telah menerima pulangan dari pelaburan yang ia buat dengan tambahan keuntungan sebanyak $488m (RM 1.94 bilion). Petrosaudi mendakwa, kesemua wang berjumlah $488m (RM 1.94 bilion) itu telah diagihkan kepada “entiti yang dimiliki oleh Petrosaudi”. Dia menafikan, dalam perkataan lain, bahawa syarikat-syarikat yang dikawal oleh Jho Low telah menerima bayaran dari projek itu.

Tidak lama sebelum Rewcastle-Brown mendedahkan mengenai 1MDB, bon-bon 1MDB telah turun taraf menjadi bon sampah. Sebanyak £200m (RM 1 bilion) dana kerajaan Malaysia telah dibelanjakan untuk menampal lompong yang terhasil dalam masalah kewangan 1MDB. Najib akhirnya mengambil tindakan yang sudah tidak dapat dia elakkan: mengarahkan penyiasatan tentang 1MDB. Ketua Polis Negara dilaporkan berkata, Perdana Menteri Malaysia turut akan disiasat.

Najib menggunakan kuasa yang ada padanya. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia memegang autoriti yang amat besar . Pada April, kerajaan melaksanakan hukuman tegas dan menyekat kebebasan bersuara, terutamanya di media sosial. Lima orang pegawai eksekutif akhbar The Edge Media Group milik Tong telah ditahan di bawah Akta Hasutan. Pada Julai 2015, penerbitan akhbar The Edge diharamkan di Malaysia.

Walaupun skandal kewangan 1MDB menjadi semakin besar, Najib tidak nampak terkesan.

Kemudian, pada 2 Julai, Rewcastle Brown dan Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat-penyiasat 1MDB mendapati bahawa wang berjumlah $681m (RM 2.6 bilion) dari pelbagai bank, agensi dan syarikat yang berkait dengan 1MDB telah didepositkan ke akaun bank peribadi Najib pada tahun 2013. Beberapa hari kemudian, para penyiasat telah melakukan serbuan di pejabat-pejabat 1MDB.

Najib kini berada di tengah-tengah penyiasatan korupsi berkait tuduhan-tuduhan bahawa wang berjumlah berbilion dolar telah lesap dari dana pelaburan negara yang dikawal olehnya sendiri. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara terbuka meminta Najib menjawab persoalan tentang 1MDB. Nampaknya, Najib sudah terkepung.

Peguam Negara tidak sempat melaksanakan pendakwaan. Pada pagi 28 Julai, Tan Sri Abdul Gani Patail, tiba di pejabatnya. Dia menjangkakan akan dapat memnyelesaikan kertas pendakwaan pertuduhan rasuah terhadap Najib hasil penyiasatan terhadap 1MDB. Namun begitu, seorang penjawat awam tidak membenarkannya masuk ke pejabat.

Dalam satu kenyataan pada umum, Najib berkata Peguam Negara tidak sihat dan tidak boleh meneruskan tugas. Turut digugurkan dari jawatan mereka ialah ketua satu cawangan khas dan Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, empat ahli jawatankuasa penyiasatan 1MDB telah dinaikkan pangkat tanpa sebarang pilihan untuk menyandang jawatan dalam kabinet. Mereka kini tidak lagi mempunyai kuasa untuk meneruskan siasatan, dan kerja-kerja siasatan mereka digantung.

Keesokan harinya, kebakaran misteri berlaku di satu bilik rekod jenayah kolar putih ibu pejabat polis.

Ia kelihatan seperti Najib sudah berjaya mengawal keadaan.

Tindakan Najib ini mendedahkan sisi yang tidak diketahui yang ada pada diriya. Bagaimanapun, terdapat seseorang yang masih boleh membuat pendedahan mengenai segalanya: Xavier Justo. Justo bukan sahaja telah mendedahkan maklumat mengenai perjanjian 1MDB dengan Petrosaudi, dia juga ialah saksi penting sekiranya terdapat prosiding mahkamah di masa hadapan mengenai skandal kewangan 1MDB.

Justo ditempatkan dalam satu sel dengan 70 orang banduan lain. Lantai sel ini dilitupi peluh dan air kencing. Penjara itu terlalu sesak hingga tidur lurus pun tidak mungkin. Menurut isteri Justo, Laura, pelawat asing suaminya yang pertama ialah bekas rakan sekerjanya yang juga Pengarah Petrosaudi, Patrick Mahony. Sewaktu dia datang, dia tersenyum mesra mengatakan dia akan membantu.

Laura berkata, Mahony menawarkan agar Justo membuat pengakuan bersalah. Sekiranya bersetuju, Petrosaudi akan bawa Justo keluar pada penghujung tahun. Justo berat hati tetapi akhirnya bersetuju. Dia menandatangani satu pengakuan walaupun tidak disaksikan peguam. Dalam surat pengakuan itu, dia dikatakan telah mengugut bekas majikannya, meminta maaf kepada Mahony dan Obaid “kerana tekanan dan kebimbangan yang saya timbulkan.”

Laura juga memberitahu, seorang lelaki yang mengaku sebagai detektif Scotland Yard telah mengambil pengakuan Justo—tetapi kemudiannya mengakui dia diupah oleh Petrosaudi.

Petrosaudi memberitahu Guardian bahawa Justo telah mendapatkan dokumen sulit yang sensitif secara tidak sah dari Petrosaudi dan berada dalam penjara kerana ‘mengugut dan memeras’.

Justo telah dihukum pada 17 Ogos 2015 di Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan. Dalam perbicaraan dia diberikan seorang penterjemah, tetapi peguamnya tidak muncul, hanya pembantu peguam itu yang sampai. Perbicaraan dan hukuman hanya mengambil masa 15 minit. Justo dihukum penjara tiga tahun di Thailand kerana percubaan mengugut sebuah syarikat UK sebanyak $2m (RM 7.95 juta).

Kehidupan di balik tirai besi di penjara Klong Prem Central di mana Justo dikurung bukan untuk mereka yang lemah. Suhu jarang jatuh ke bawah 26C.

Justo berkongsi sel “VIP” yang sesak dengan 25 orang banduan lain. Sarapan pukul 7.00 pagi. Air dicatu. Banduan tiada makanan selepas 3.00 petang. Ada satu bilik mandi kecil di belakang sel. Hanya ada satu paip dan tandas cangkung.

Tahun 2015 semakin hampir ke penghujung dan tiada tanda bahawa suaminya akan dikeluarkan dari penjara. Laura menjadi semakin curiga dengan rakannya di Petrosaudi. Terdapat beberapa artikel diterbitkan di Malaysia dan Switzerland menceritakan kisah dari pihak Justo kononnya dia hanyalah kambing hitam dalam plot politik menentang Perdana Menteri Malaysia.

Keadaan menjadi semakin buruk buat Justo. Dalam penjara, selimut yang diberi kepadanya semakin nipis, tilamnya ditarik balik beberapa bulan sebelum itu, begitu juga waktu senamannya.

Laura kini mempercayai bahawa Justo telah menjadi mangsa penipuan bekas sahabat-sahabatnya, yang menipu agar dia mengaku bersalah dan menyerahkan kembali beberapa salinan server Petrosaudi untuk melindungi diri mereka dan sekutu mereka di Malaysia dengan cuba ‘menguburkan’ kes itu.

Pada Mei 2016, dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan suaminya, Laura bertemu dengan orang yang dia rasakan dipercayai oleh Justo, iaitu Rewcastle Brown yang membawa Laura ke Guardian.

Laura pada mulanya bertenang tetapi kemudian menangis apabila bercakap tentang suaminya. Justo tidak bertemu anak lelaki mereka sejak berusia lapan bulan. Laura menulis dalam satu e-mel:

Saya cuma mahu keadilan ditegakkan. Xavier bukan pencuri, dia hanya minta apa yang pernah dijanjikan padanya. Dalam keadaan paling kelam dan sukar seperti sekarang, dia menulis pada saya untuk beritahu dia gagahkan diri bertahan demi saya dan anak—bahawa dia akan berjuang untuk kami walau apa pun berlaku.

Laura telah menyerahkan beberapa keping nota yang diseludup keluar dari penjara di mana Justo mendakwa dia telah diperangkap. Laura percaya yang Patrick Mahony dari Petrosaudi mempunyai kuasa mengawal kehidupan Justo di penjara: berapa selesa kehidupannya dan siapa yang dapat melawatnya (banduan asing memiliki senarai pelawat yang dibenarkan. Ia ditampal di luar penjara. Mahony berada pada kedudukan kedua manakala Laura di kedudukan kelima).

Laura berkata dia mempunyai e-mel dan mesej WhatsApp, termasuk rakaman panggilan telefon dari tahun 2015 bahawa Mahony semakin ditekan oleh Najib. Manakala penyiasat dari AS dan Switzerland juga kini sedang menyiasat perjanjian Petrosaudi.

Bersambung ke Bahagian 4 (akhir)

BBahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...