1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 2

Trending

1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 2

Bahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4

Sewaktu Low dan Najib belayar dalam kapal mewah dengan dua orang pengasas Petrosaudi, kerajaan pusat telah mengambil alih dana negara itu, yang kemudiannya dinamakan sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ia diberi mandat untuk membangunkan ekonomi di Malaysia.

Advertisement

Dana itu mempunyai lebih $1 bilion (RM 3.9 bilion) untuk dibelanjakan, dan Najib mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan pelaburan, melantik atau memecat ahli lembaga dan pengurus.

Low bertindak sebagai pemudah cara transaksi. Menurut DoJ, Low turut hadir ke mesyuarat-mesyuarat bagi pihak Najib dan menjadi orang tengah untuk berhubung dengan Najib.

Perjanjian pertama 1MDB ditandatangani beberapa minggu setelah pertemuan dengan Petrosaudi. Ia merupakan satu perjanjian kerjasama bernilai $2.5bn (RM 9.92 bilion) antara Petrosaudi dan 1MDB, ditandatangani semasa lawatan Najib ke Arab Saudi pada September 2009.

Siaran media menyatakan, projek kerjasama itu akan “membuat pelaburan strategik dalam projek berimpak tinggi” dan “meningkatkan keyakinan Arab Saudi kepada Malaysia”.

Tetapi, menurut DOJ, perjanjian itu hanyalah satu “kepura-puraan” untuk “pemindahan secara penipuan wang sejumlah $1bn (RM 3.9 bilion) dari 1MDB ke akaun bank Swiss” yang dikawal oleh Jho Low –“pemuda 29 tahun yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB dan Petrosaudi”.

Petrosaudi masih mengekalkan kenyataan asalnya bahawa kesemua dana 1MDB dibayar kepada entiti yang dimiliki oleh pemegang sahamnya.

Projek kerjasama multi bilion itu habis dilaksanakan dalam masa yang luar biasa—kurang dari sebulan. Tidak lama selepas pertemuan di kapal layar itu, pada 28 Ogos 2009, Obaid telah memperkenalkan Low kepada Patrick Mahony—pengarah syarikat yang menguruskan perniagaan Petrosaudi.

Menurut dokumen yang telah dilihat oleh Guardian, Low dan Mahony bertemu untuk makan tengahari di New York pada 9 September untuk membincangkan mengenai projek kerjasama itu.

Lukisan ini yang dilukis oleh Vincent Van Gogh, bernilai $5.5m (RM 21.83 juta), dikatakan dibeli dengan wang dari 1MDB, menurut pihak berkuasa US.

Setelah makan tengahari di Masa—sebuah restoran sushi di mana menu setnya berharga $540 (RM 2,142.86) sekepala—Mahony menghantar e-mel kepada Low hari berikutnya dengan tawaran:

Kami tahu ada perjanjian yang sedang anda teliti, di mana anda mungkin ingin menggunakan perkhidmatan Petrosaudi. Kami sukacita akan melakukannya untuk anda. Anda cuma perlu beritahu kami di mana…

Petrosaudi mendakwa dokumen yang dilihat oleh Guardian tidak boleh dipercayai, dicuri, palsu dan hanya sebahagian saja yang didedahkan.

Kurang tiga minggu kemudian, perjanjian itu ditandatangani. Petrosaudi akan menyumbangkan $1.5bn (RM 5.95 bilion) dalam bentuk aset minyak dan gas kepada projek kerjasama itu, manakala 1MDB akan menyuntik wang tunai sebanyak $1bn (RM 3.9 bilion) .

Menurut saman yang difailkan AS, 1MDB telah memindahkan $300m (RM 1.19 bilion) kepada satu akaun yang ditubuhkan untuk projek kerjasama tersebut. Tetapi baki $700m (RM 2.8 bilion) pula telah dihantar kepada satu akaun bank Swiss di RBS Coutts, yang dikawal oleh syarikat berpangkalan di Seychelles bernama Good Star.

Saman DoJ menuduh bahawa Jho Low, bukannya Petrosaudi, yang memiliki dan berautoriti terhadap syarikat Good Star.

Pihak berkuasa AS mendakwa pegawai di 1MDB telah memberikan maklumat palsu kepada bank-bank mengenai pemilikan akaun syarikat Good Star, supaya boleh melencongkan wang berjumlah $700m (RM 2.8 bilion) itu.

Dalam dokumen yang dilihat oleh Guardian, pada 30 September 2009, Petrosaudi telah melencongkan wang $700m  (RM 2.8 bilion) ke akaun bank yang dikawalnya. Tetapi tiga hari kemudian, apabila Bahagian Pematuhan di RBS Coutts meminta maklumat lanjut mengenai nama pemilik akaun benefesiari tersebut, alamat yang diberikan oleh 1MDB menghala kepada akaun Good Star.

Pada hari yang sama, 2 Oktober, Low menghantar e-mel kepada Mahony berkata: “Shld be cleared soon (patut lepas tak lama lagi)”. Petrosaudi memberitahu Guardian:

Tiada wang yang dilaburkan dalam projek kerjasama Petrosaudi dan 1MDB yang diselewengkan atau hilang. Pelaburan 1MDB menjana keuntungan. Semua pemindahan wang dari 1MDb dibayar dengan kelulusan penuh lembaga 1MDB.

Merujuk kepada dokumen yang dilihat oleh Guardian, transaksi yang dibuat kepada Good Star menyebabkan Obaid, pada waktu itu 32 tahun, dan Mahony, pada masa itu 33 tahun, menjadi kaya raya.

Rekod menunjukkan pada 30 September 2009, Good Star bersetuju membayar $85m (RM 337.3 juta) kepada Obaid, sebagai bayaran untuk perkhidmatan ‘rundingan’. Wang itu didepositkan ke dalam akaun bank Swiss JP Morgan milik Obaid. Pada masa yang sama, e-mel dan dokumen sah menunjukkan Mahony diberi kontrak sebagai ‘pengurus pelaburan’ untuk Good Star.

Pada 20 Oktober, Obaid menghantar e-mel kepada kenalannya di JP Morgan, meminta wang sejumlah $33m (RM 131 juta) dipindahkan kepada satu akaun bank milik Mahony.

Empat hari kemudian, Mahony mula berbincang untuk menyediakan satu syarikat luar untuk membeli satu deret rumah bernilai £6.7m (RM 35.7 juta) di Notting Hill, dan pada 12 November, kontrak untuk pembelian deretan rumah itu sudah bertukar tangan.

Mahony yang merupakan bekas ahli perbankan telah mewujudkan satu akaun bank bernombor di Switzerland, dan kesemua bayaran untuk pembelian rumah itu dibuat dari akaun ini, melalui satu syarikat di British Virgin Islands yang diwujudkan olehnya.

Sebagai respons terhadap pertanyaan Guardian, Petrosaudi mendakwa bayaran kepada Obaid bukan bayaran untuk khidmat rundingan dan pemindahan wang berjumlah $33m (RM 131 juta) kepada Mahony tidak kena mengena dengan projek kerjasama antara Petrosaudi dan 1MDB.

Justo dan Laura

Laura dan Xavier Justo pula sedang berbahagia di Thailand, tidak sedar mengenai kemewahan tiba-tiba yang dinikmati oleh kawan mereka Obaid. Pasangan itu menghabiskan masa bersantai di Teluk Andaman pada Disember 2009, apabila Obaid menelefon Justo dan menawarkan jawatan pengarah buatnya di London bersama Petrosaudi. Dia memberitahu Justo, Petrosaudi mendapat durian runtuh dan memerlukan seseorang untuk bantu syarikat itu berkembang.

Pada mulanya, Justo menolak tawaran Obaid, tetapi merasa tertarik dengan pakej bayaran yang diberikan. Menurut Justo, Obaid menjanjikannya gaji sebanyak £400,000 (RM 2.1 juta), “bonus jutaan pound” dan rumah flat yang sewaannya bernilai £10,000 (RM 53,352.92) seminggu di Mayfair, pusat bandar London.

Justo terbang ke London pada musim bunga 2010. Pada bulan Jun dia telah menjadi pengarah Petrosaudi. Tetapi Justo tidak diberitahu mengenai perniagaan Obaid di Asia yang sangat menguntungkan itu.

Sebaliknya, Justo, seorang yang pandai berbahasa Spanish, diberi tugas untuk memulakan operasi baru Petrosaudi di Venezuela. Dia menghabiskan tahun 2011 dengan terbang antara London dan Caracas untuk tujuan tersebut.

Antara September 2010 dan Mei 2011, 1MDB bersetuju untuk memberikan tambahan dana berjumlah $830m (RM 3.93 bilion) untuk projek kerjasama dengan Petrosaudi—menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan 1MDB $1.83bn (RM 7.25 bilion). Dari bayaran terbaru ini, pegawai kerajaan AS menuduh, $330m (rm 1.3 bilion) dibayar kepada akaun Swiss yang dikawal oleh Low, atas permintaan Obaid, yang dikenal pasti dalam dokumen saman AS sebagai ‘Petrosaudi CEO’.

E-mel dan rekod bank yang dilihat Guardian menunjukkan dalam masa sembilan bulan antara September 2010 dan Mei 2011, Obaid memindahkan $77m (305.56 juta) dari akaun bank Swiss JP Morgan miliknya ke akaun bank pengasas bersama Petrosaudi, Putera Turki bin Abdullah. Menurut pihak berkuasa AS, rekod perbankan menunjukkan pada musim bunga 2011, Putera Turki juga turut menerima sejumlah $24m (RM 95.24 juta) dari akaun Good Star yang dikawal oleh Low. Dan dalam masa beberapa hari, sejumlah $20m (RM 79.36 juta) dari dana ini telah dipindahkan ke akaun Najib.

Dalam pada itu, Low semakin dikenali di arena kelab malam New York sebagai perancang/perunding untuk mereka yang kaya raya. Gambarnya ditangkap oleh paparazi. Dia minum champagne mewah serta bergaul dengan penyanyi R&B dan bintang Hollywood.

Menurut pihak berkuasa AS, Low membelanjakan $100m (RM 396.82 juta) dari transaksi projek kerjasama dengan 1MDB untuk membeli hartanah di Hollywood dan lagi $40m (RM 158.73 juta) untuk membeli beberapa apartmen di New York.

Dana untuk menghasilkan file The Wolf of Wall Street, dalam pertuduhan DoJ, dikatakan boleh dikesan secara terus kepada wang berjumlah bilion dolar yang dilencongkan dari projek kerjasama 1MDB dengan Petrosaudi.

Dalam masa yang sama, Justo semakin tidak berpuas hati dengan suasana tempat kerjanya di Petrosaudi.

Menurut isterinya Laura, Justo mula merasa tidak puas hati apabila menyedari bayaran gajinya hanya diberikan separuh dari apa yang dijanjikan oleh Obaid. Tambahan pula dia selepas itu mendapati, ‘bonus jutaan’ yang pernah dijanjikan oleh Obaid juga dikurangkan kepada enam angka sahaja.

Ada juga perkara lain, seperti Justo sering lambat menerima gaji dan kadangkala tidak menerima bayaran. Dia mendakwa dia kemudiannya juga terpaksa membayar sendiri harga sewaan rumah flat di Mayfair yang sebelum ini sepatutnya dibiayai oleh majikannya.

Pada mulanya, Justo memberitahu Laura—mungkin ini semua hanya satu kejadian yang tak dirancang—Obaid tidak berniat jahat, cuma simpan kira korporat di Petrosaudi tidak diuruskan dengan baik.

Tetapi semakin hari, Justo merasa terganggu dengan sikap Obaid. Justo memberitahu rakan-rakannya bahawa Obaid telah menjadi semakin bongkak setelah menjadi kaya raya. Apa yang Justo lihat, Obaid menjadi semakin kurang rasional dan sering mempamerkan kemarahan yang sukar dikawal.

Walaupun telah berkawan baik lebih sedekad, persahabatan Justo dan Obaid akhirnya berakhir apabila pada penghujung 2010, Justo terlepas penerbangan untuk hadir ke satu mesyuarat penting. Dia meminta maaf kepada Obaid, tetapi Justo berkata, Obaid naik minyak dan menghantar mesej penuh amarah kepadanya melalui pesanan teks dan e-mel.

Bimbang, Justo memutuskan untuk berhenti kerja pada Mac 2011. Dalam e-melnya kepada Justo, Obaid menggelar Justo ‘angkuh’ dan ‘macam bagus’.

Pada April, akhirnya satu jalan penyelesaian dibuat di Mayfair.

Dalam bar sebuah hotel, Mahony dan Justo membincangkan syarat-syarat pemergiannya. Menurut Justo, Mahony telah bersetuju untuk membayarnya £5m (RM 26.6 juta)sebagai pampasan.

Justo meluahkan perasaan terkilannya kepada Mahony atas perubahan Obaid. Dia merasakan dia berada dalam keadaan paling tertekan dan dia menangis di hadapan Mahony.

Sehari kemudian, Justo mendakwa dia diberitahu bahawa pakej pampasannya telah dikurangkan pada £3m (RM 16 juta).

Hilang sabar, Justo menyalin kesemua data dalam pelayan (server) Petrosaudi.

Pada September 2013, dua tahun selepas meninggalkan Petrosaudi, Justo menghantar satu e-mel kepada Mahony. Justo mendesak Mahony untuk membayar apa yang telah dijanjikan–baki lagi £2m dari amaun asal £5m (RM 10.6 juta) bonus dan memberi amaran bahawa dia mempunyai fail-fail berkaitan Petrosaudi.

Kata Justo dalam e-melnya:

Luarannya nampak baik-baik sahaja, tapi realitinya (Petrosaudi) semuanya komisyen, komisyen, komisyen. Dan apa yang bermain di fikiran aku, ialah pengakhiran semua ini bersama dengan kehancuran hidup engkau.

Bersambung ke Bahagian 3

Bahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...