1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 1

Trending

1MDB: Latar Belakang Skandal Kewangan Terbesar Dunia Pt 1

Bahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4
Pada 22 Jun 2015, Xavier Justo, seorang ahli perbankan Switzerland berusia 48 tahun yang sudah bersara berjalan ke pintu masuk hotel butiknya yang baru dibina di Koh Samui, Thailand. Dia telah menghabiskan masa tiga tahun membina kompleks chalet dan apartmen yang berbatu putih itu. Kompleks itu menghadap laut dan perniagaannya hampir dibuka. Apa yang dia perlukan hanya lesen perhotelan.

Justo tiba di Thailand empat tahun sebelum itu, meninggalkan dunia kewangan yang membosankan di London. Pada 2011, dia dan teman wanitanya Laura menjelajah Thailand dengan motosikal, dan dua tahun kemudian mereka berkahwin di sebuah pantai yang terpencil.

Advertisement

Pasangan itu menetap di Koh Samui, tempat tumpuan pelancong, yang hanya mengambil masa sejam penerbangan dari Bangkok. Setelah cuba menceburkan diri dalam beberapa bidang perniagaan, Justo membuat keputusan untuk menceburi perniagaan perhotelan. Dia membeli plot tanah berumah dan mula membina hotelnya: menambah gimnasium, beberapa buah vila dan gelanggang tenis.

Suatu petang dalam bulan Jun, Justo menunggu ketibaan seorang pegawai kerajaan dalam bidang pelancongan untuk menandatangani kertas kerja.

Di luar jangkaannya, hanya pasukan polis Thailand yang merempuh masuk melalui pintu rumahnya yang tidak berkunci. Dia ditindih sepasukan polis di lantai. Polis mengikat pergelangan tangannya dengan ketat sehingga pergelangan tangannya luka dan darahnya menitis ke lantai yang berjubin gelap. Polis terus bergerak ke pejabat Justo, menceraikan komputer dan mengosongkan kabinet fail.

Setelah menghabiskan masa dua hari di penjara Thailand yang berada dalam keadaan menyedihkan, Justo diterbangkan ke Bangkok dan dia dipamerkan di hadapan pihak media seperti ketua mafia. Masih mengenakan seluar pendek dan selipar, dia diapit empat orang komando lengkap dengan mesingan, manakala empat orang pegawai polis kanan memberi taklimat kepada pemberita mengenai pertuduhan terhadap Justo.

Justo didakwa atas pertuduhan percubaan mengugut bekas majikannya, satu syarikat yang bertapak di London tetapi tidak begitu dikenali yang bernama Petrosaudi. Tetapi di sebalik pertuduhan yang biasa ini ada satu cerita yang lebih besar.

Enam bulan sebelum itu, Justo telah menyerahkan kepada seorang wartawan British bernama Clare Rewcastle Brown beribu dokumen, termasuk 227,000 e-mel dari pelayan (server) bekas majikannya Petrosaudi yang menunjukkan, apa yang dikatakan rompakan beberapa bilion dolar dari satu dana pelaburan yang dimiliki negara Malaysia, dikenali sebagai 1MDB.

Dokumen yang dibocorkan oleh Justo memulakan tindak balas berantai berbentuk penyiasatan di sekurang-kurangnya enam negara dan membawa kepada apa yang katakan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch, sebagai ‘kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat’.

Menurut saman yang difailkan pada tahun 2016 oleh Jabatan Undang-undang (DoJ) AS, sekurang-kurangnya 3.5 bilion dolar (RM 13.9 bilion) telah dicuri dari 1MDB. Tujuan dana itu ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri  Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2009 untuk menggalakkan perkembangan ekonomi dalam negara Malaysia di mana pendapatan median ialah berjumlah £300 (RM 1,600) sebulan.

Sebaliknya, DoJ menuduh bahawa wang yang dicuri dari 1MDB telah dihantar kepada ramai kenalan Najib, yang kemudiannya bermewahan membelanjakan wang itu di seluruh dunia. DoJ juga menuduh Najib menerima 681 juta dolar (RM 2.6 bilion) dari 1MDB–yang dinafikan oleh Najib.

DoJ juga mendakwa, wang dari 1MDB telah digunakan untuk membeli apartment-apartmen mewah di Manhattan, rumah-rumah agam di Los Angeles, hasil lukisan Monet, satu jet korporat, dan juga digunakan untuk membiayai pembikinan satu filem Hollywood.

DoJ membahagikan rompakan itu kepada tiga fasa: $ 1 bilion (RM 3.98 bilion) yang pertama diselewengkan di bawah “kepura-puraan bahawa ia dilaburkan untuk satu usahasama antara 1MDB dan Petrosaudi”. Kedua, lagi $ 1.4 bilion (RM 5.57 bilion) diraih oleh Goldman Sachs dalam bentuk pengeluaran bon, diselewengkan kepada satu syarikat Switzerland, dan ketiga, lagi $ 1.3 bilion (RM 5.17 bilion) dilencongkan ke satu akaun bank Singapura.

Jabatan Undang-undang (DoJ) Amerika mendakwa wang dari 1MDB digunakan untuk membeli lukisan Claude Monet iaitu Nymphéas Avec Reflets de Hautes Herbes, bernilai $57.5 juta (RM 228.30 juta). Lynch memberitahu pihak media pada 2016:

Beberapa orang pegawai 1MDB yang korup menggunakan dana awam ini seperti akaun bank peribadi. Rakan subahat menyelewengkan dana yang dicuri ini melalui satu jaringan transaksi sukar dikesan yang kompleks menggunakan syarikat-syarikat tidak aktif yang memiliki akaun bank di seluruh dunia, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Petrosaudi yang tidak dituduh dalam saman itu, menafikan pertuduhan Amerika Syarikat dan mengatakan tindakan DOJ untuk menarik semula aset peribadi yang dimiliki oleh mereka dengan menggunakan dana 1MDB tidak lebih dari ‘tuduhan tak berasas’.

Najib yang menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada untuk menghalang penyiasatan skandal itu — yang dinafikan olehnya – tidak disebut namanya dalam saman yang difailkan oleh AS, yang merujuk kepadanya sebagai ‘Malaysian Official 1’, tetapi lelaki di tengah-tengah semua ini ialah Jho Low.

2731
Jho Low ialah seorang lelaki yang berpendidikan Universiti Harrow dan merupakan rakan kepada anak tiri Najib, Riza Aziz. Low, yang berwajah keanak-anakan, suka berparti dengan Lindsay Lohan dan Paris Hilton, dikatakan oleh DoJ sebagai perancang utama rompakan $2 bilion (RM 7.95 bilion) dari 1MDB.  Wang ini kemudiannya dihantar kepada akaun-akaun bank di Switzerland, Singapura dan the Virgin Islands.

Low bagaimanapun mendakwa dia tidak menyalahi mana-mana undang-undang dan tidak disiasat.

Riza menerbitkan filem The Wolf of Wall Street – filem arahan Martin Scorcese mengenai korupsi, keruntuhan moral dan ketamakan. Leonardo DiCaprio telah memenangi anugerah Golden Globe Pelakon Lelaki Terbaik dan Leo telah menyebut nama Low dan Riza dalam ucapan penerimaan anugerahnya.

Pada tahun 2011, Low membeli 20% pemilikan dalam EMI, syarikat penerbitan muzik terbesar di dunia untuk nilai $106 juta (RM 421.51 juta), membeli penthouse berharga $30 juta (RM 119.29 juta) untuk bapanya di Time Warner Center di Manhattan, menghadap Central Park. Syarikat penerbitan Hollywood Riza mengatakan:

Tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai Red Granite Pictures, mahupun aktiviti perniagaan Riza Aziz.

Kesemua ini dan kesemua maklumat lain yang lebih terperinci boleh ditemui dalam saman yang difailkan oleh Amerika Syarikat mengenai satu rompakan besar-besaran yang dijalankan oleh para konspirator yang menyapu berbilion wang rakyat Malaysia melalui akaun bank luar negara dan syarikat tidak aktif yang berpangkalan di negara yang tidak mengenakan cukai atau mengenakan cukai rendah seperti Seychelles dan British Virgin Island.

Pencarian Wang Yang Hilang

Usaha global untuk mencari wang Malaysia bernilai berbilion ringgit bermula dengan Xavier Justo. Dia membocorkan 90 gb data, termasuk 227, 000 e-mel dari bekas majikannya Petrosaudi, satu syarikat perkhidmatan minyak yang mula-mula sekali menandatangani perjanjian perniagaan dengan 1MDB (Petrosaudi menafikan terdapat salah laku). Tanpa semua fail ini, maka semua penyiasatan ini tidak akan bermula.

Kaitan Justo dengan Petrosaudi ialah, dia telah lama bersahabat dengan salah seorang pengasas syarikat itu, seorang warga Saudi bernama Tarek Obaid. Kedua-dua lelaki ini mula berkenalan sejak 1990-an dan sering berparti bersama di kelab-kelab malam di Geneva. Pada tahun 2006, dua lelaki ini seolah sukar dipisahkan.

Justo kini bertapak kukuh sebagai ahli perniagaan, menguruskan satu firma perkhidmatan kewangan, Fininfor, dan menjalankan perniagaan kelab malam bernama Platinum Club.

Justo menganggap Obaid seperti adik lelakinya, dan pada tahun 2008, meminjamkan Obaid wang berjumlah $30,000 untuk membantu Obaid memulakan syarikat Petrosaudi.

Obaid dan Justo mempunyai banyak perbezaan, tetapi mereka rapat kerana kedua-duanya sukakan kehidupan mewah. Justo ialah anak pendatang Spanish ke Switzerland dan tidak pernah ke universiti. Obaid ialah graduan Fakulti Perkhidmatan Luar Negara yang berprestij dari Universiti Georgetown.

Seorang lagi pengasas Petrosaudi, Putera Turki bin Abdullah, ialah anak ketujuh Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz yang memerintah Arab Saudi dari 2005 hingga kemangkatannya pada tahun 2015.

Apabila Justo meninggalkan Geneva pada 2009, Petrosaudi hanyalah satu nama pada kad bisnes, secara rasmi diperbadankan di London dengan alamat di unit tidak bernama berhampiran Victoria. Dua tahun kemudian, ia telah meraih dana berjumlah $1.83 bilion (RM 7.28 bilion).

Petrosaudi menceburi perniagaan kapitalisme akses: membuka pintu-pintu untuk peluang pelaburan dengan bantuan kenalan yang berpangkat tinggi. Asasnya, syarikat ini ialah untuk mendapatkan sedikit dari keuntungan besar yang dibuat oleh syarikat minyak yang dimiliki oleh negara membangun.

Petrosaudi memberitahu pada pelanggannya yang berpotensi, bahawa ia “disokong oleh keluarga diraja Saudi” dan ia mengawal pelantar minyak di Asia Tengah. Ini sebagai jaminan untuk mendapatkan pelaburan wang tunai dari pelabur negara lain.

Image result for najib yacht 1mdb

Tawaran perkhidmatan mereka ini menyebabkan mereka bertemu dengan Najib, pada Ogos 2009. Di atas sebuah kapal layar mega dengan lebar 92 m yang belayar dari Teluk Monaco, Obaid dan Putera Turki menghabiskan masa dengan Najib, penasihatnya Jho Low dan ahli keluarga Najib yang lain.

Gambar-gambar yang diambil semasa pertemuan itu menunjukkan percutian cruise: masing-masing memakai topi besbol dan seluar pendek—tetapi perbincangan mereka serius. Hasilnya, satu keputusan yang memungkinkan Low dan Obaid untuk bekerjasama dalam satu urusan yang membolehkan mereka berdua mengawal wang rakyat Malaysia yang tak terkira jumlahnya.

Low tidak memegang jawatan rasmi dalam kerajaan Malaysia, tetapi dia telah menjadi orang kepercayaan Najib.

Penubuhan 1MDB

Walaupun masih Muda, Low ialah orang penting dalam kerjasama dengan Goldman Sachs (institusi pelaburan dan perbankan AS) bagi menubuhkan satu dana negara. Dana ini melaburkan hasil pendapatan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak. –  diterjemah untuk amazingnara.com dari The Guardian

Bersambung ke Bahagian 2

Bahagian 1 | Bahagian 2Bahagian 3 | Bahagian 4

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...