Satu klip video yang dipercayai dirakam dari kokpit pesawat komersial pada 24 November lalu memaparkan 12 cahaya misteri yang muncul di ruang udara perairan Laut China Selatan dan kemudiannya hilang di sebalik awan.
Dalam klip video yang dirakam kira-kira 11,887 meter dari aras laut, turut kedengaran suara juruterbang yang menyifatkan cahaya terbabit sebagai pelik dan dia sendiri tidak mengetahui tentang objek tersebut.
Cahaya terbabit berada pada kedudukan lebih tinggi dari aras dilalui 16 pesawat tentera China terdiri daripada pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 dan Xian Y-20 yang menceroboh ruang udara Malaysia pada Mei lalu.
Satu laporan telah menyatakan cahaya misteri berkenaan ialah suar yang dilepas dari tiga pesawat untuk mengelak peluru berpandu ketika latihan tentera.
Pada September lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan Op Curiga bersama-sama tentera Amerika Syarikat (AS) sebagai persediaan menghadapi konflik di Laut China Selatan.
Dari mana pun asal cahaya itu, diharapkan perkara ini disiasat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengelakkan pihak tertentu melakukan latihan ketenteraan tanpa pengetahuan negara-negara sekitar.