Melalui laporan Kosmo, 10 lelaki warga Bangladesh telah ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam serbuan klinik doktor warga asing di sembilan lokasi yang terletak di ibu negara.
Tawar perkhidmatan rawat pesakit Bangladesh
Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang telah tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan. – Ketua Pengarah Imigresen.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban lagi, modus operandi warga asing ini adalah menawarkan perkhidmatan rawatan buat pesakit melalui doktor Bangladesh tidak bertauliah dan hanya menawarkannya kepada warga Bangladesh sahaja.
Dilakukan di kedai makan & kedai runcit
Difahamkan, kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan serta kedai runcit, di mana ia memudahkan mereka untuk mengaburi pihak berkuasa.
Ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM disyaki dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
Bahkan, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 untuk setiap pelanggan dan kegiatan ini sudah berlangsung sejak dua tahun lalu.