Tersebarnya tiket penerbangan Hanez Suraya dan kekasihnya, Romie pada April lalutelah menjadi bualan hangat orang ramai. Perkara tersebut menyebabkan Hanez Suraya merasakan privasi miliknya terganggu. Susulan itu, Hanez dan Romie telah pun memfailkansaman terhadap Malaysia Airlines System (MAS) hari ini atas dakwaan mendedahkan tiket penerbangan mereka ke Bangkok, Thailand di laman sosial.
Hanez dan Romie dalam pernyataan tuntutan mendakwa mereka menggunakan perkhidmatan MAS ke Bangkok dan berlepas daripada pintu G8, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat MH0788.
Sebelum menaiki pesawat berkenaan, mereka mendakwa menyerahkan tiket penerbangan kepada tiga petugas di pintu tersebut.
Selepas beberapa jam mendarat di Bangkok, mereka turut mendakwa telah dimaklumkan keratan tiket penerbangan tersebut telah dimuat naik ke dalam akaun Facebook “Kami Sokong Liyana Manan” dan mendapati lebih 1,000 komen negatif berbaur cemuhan serta cacian.
Mereka mendakwa tindakan defendan mendedahkan tiket penerbangan tersebut ke laman sosial adalah tidak beretika dan melanggar Akta Pelindungan Data Peribadi (APDP) 2010.
Hanez dan Romie sebagai plaintif telah menghantar surat pada 21 April kepada MAS untuk meminta penjelasan mengenai pelanggaran APDP itu.
Pada 29 April, peguam yang mewakili kedua-dua plaintif menerima surat daripada defendan agar meminta salinan tiket tersebut diserahkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
Salinan tersebut telah diserahkan keesokan harinya dan pada 8 Mei 2014, plaintif telah menghantar surat kepada defendan bagi memberi masa sehingga 12 Mei untuk memberi jawapan, namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang jawapan.
Plaintif mendakwa mereka mengalami gangguan dan tekanan emosi akibat perbuatan tidak beretika.
Oleh itu, Hanez dan Romie dalam samannya terhadap defendan menuntut ganti rugi am, teladan, teruk, kos dan apa-apa perintah relief yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Hanez yang ditemui media memberitahu pergerakan mereka terganggu disebabkan kejadian itu.
“Ini adalah berkenaan dengan privasi kami,” katanya ringkas.
Ditanya mengenai tarikh penyerahan saman kepada MAS, peguam bela yang mewakili plaintif, Harjit Sandhu berkata, pihaknya akan menyerahkan dalam masa terdekat. Sumber Sinar Harian.