Telah disahkan menghidap demam denggi, keadaan pengarah KL Gangster ini dikatakan masih belum pulih sepenuhnya. Sehingga ke hari ini, Syamsul Yusof masih ditahan di wad sedangkan majlis pernikahannya dengan Puteri Sarah Liyana akan berlangsung esok. Walaupun ada ura-ura akan ditunda, ibu kepada Syamsul mengesahkan yang majlis esok akan berjalan seperti yang dirancang.
Disebabkan keadaannya yang agak lemah, Syamsul akan menggunakan kerusi roda untuk ke tempat pernikahannya iaitu Masjid Sri Damansara. Kata ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail kepada Sinar Harian:-
Untuk esok, majlis pernikahan akan diteruskan seperti yang dirancang. Kami akan membawa Syamsul menggunakan kerusi roda. Majlis nikah tidak boleh dibatalkan kerana borang nikah dan urusan Tok Kadi telah lama diatur. Selepas nikah, Syamsul perlu kembali ke hospital semula.
Namun begitu majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada sebelah malamnya terpaksa ditunda kerana masalah kesihatan Syamsul Yusof. Kata Datin Patimah lagi:-
Jadi, untuk majlis resepsi pada sebelah malamnya, terpaksa ditunda. Ini satu keputusan yang berat daripada kedua-dua belah pihak. Tapi, saya puji sikap bakal besan saya yang cukup memahami. Ikutkan, Syamsul tidak mahu majlis ditunda kerana segala persiapan telah dilakukan, tapi memandangkan kondisi kesihatannya tidak mengizinkan, majlis terpaksa juga ditunda
Tarikh untuk majlis resepsi akan dibincangkan semula selepas 2 minggu dan apabila keadaan Syamsul Yusof benar-benar pulih kelak. Apa pun, sama-samalah kita doakan kesihatan Syamsul. Semoga diberikan kekuatan untuk meneruskan akad nikah seperti yang dirancang. Diharapkan agar Syamsul lekas sembuh dan dapat menjalani kehidupan suami isteri seperti yang diimpikan setiap pasangan yang berkahwin.