Tak tahu berapa ramai yang menantikan tayangan filem keluaran 1997, Titanic yang ditayangkan semula dalam versi 3D mulai semalam, tetapi kami antara yang telah menyaksikannya di Berjaya Times Square. Filem ini ialah merupakan filem termahal pernah dihasilkan di dunia, dengan kos sebanyak USD 200 juta (lebih kurang RM 600 juta) dan diarahkan oleh pengarah tersohor, James Cameron.
Pada asalnya, ramai yang menjangkakan filem ini akan gagal membuat kutipan yang baik. Ternyata jangkaan mereka meleset bila filem ini berjaya mendapat kutipan melebihi USD 2 bilion ( lebih kurang RM 6 bilion) setelah selesai tayangan di seluruh dunia (tidak termasuk hasil jualan DVD dan cenderamata). Ia juga telah meletakkan hero dan heroinnya iaitu Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet dalam senarai pelakon A-List di Hollywood.
Kini setelah 15 tahun, James Cameron telah berhasil membawa kembali Titanic ke layar perak, tapi kali ini dalam bentuk 3D. Jadi apakah kelainannya?
Kos untuk menukar filem Titanic yang asal kepada format 3D memakan belanja USD 18 juta, dan mengambil masa 60 minggu untuk disiapkan dengan sepenuhnya. Untuk menyaksikan format 3D ini, anda akan dibekalkan dengan cermin mata 3D oleh pihak pawagam.
Hasilnya memang menakjubkan.
Kami menyaksikan Titanic sewaktu ia mula ditayangkan pada 1997 dua kali di pawagam dan sudah menonton DVDnya mungkin 20 kali, dengan kali terakhir pada tahun 2004. Bezanya menonton dalam versi 3D ialah anda merasakan bukan menonton, tetapi seolah-olah pelakon-pelakon utama filem ini iaitu Leonardo DiCaprio, Kate Winslet, Billy Zane dan lain-lain lagi benar-benar berada di hadapan anda.
Yang berbeza sudah tentu ialah dimensi pada gambar, di mana kita boleh ‘merasakan’ jarak antara semua permukaan dalam filem, seolah-olah ia ‘timbul’. Objek yang berada dekat terasa lebih ‘menonjol’ dan memberikan kedalaman sudut pada filem ini yang tidak dapat kita rasakan waktu menonton filem ini sebelum ini. Sebagai contoh, kami boleh merasakan kedalaman laut sewaktu kamera memfokuskan pada sisi kapal.
Dari segi lain tidak banyak berubah, tetapi James mengambil langkah bijak menggunakan kecanggihan teknologi masa kini untuk melakukan beberapa pembetulan pada filem ini, terutamanya pada langit malam di kawasan perairan di mana RMS Titanic telah tenggelam 100 tahun dahulu, yang kini menampilkan bagaimana langit sebenarnya kelihatan malam itu dengan menunjukkan langit malam dengan buruj yang tepat selepas mendapat teguran dari seorang ahli astrofizik.
Kami mendapati sisi romantik filem ini klise, dengan skrip seperti dari novel cinta picisan Mills and Boon , tetapi itu boleh dimaafkan kerana apa yang menjadikan filem ini cemerlang ialah penekanan pada fakta dari sebesar sehingga sekecil perkara, serta adegan dramatik saat kemusnahan dan tenggelamnya RMS Titanic dan hakikat tentang diskriminasi terhadap golongan kurang berada dalam menyelamatkan nyawa penumpang oleh pegawai syarikat perkapalan di saat-saat kecemasan. Perasaan panik yang diwujudkan dari kecemasan ini memang realistik.
Sebagai kesimpulannya sudah tentu kami mengesyorkan filem ini ditonton oleh semua pihak untuk mengalami sendiri drama tenggelamnya RMS Titanic dalam format tiga dimensi dengan impak realisme yang kekal dalam ingatan. Skor akhir ialah 5 dari 5 bintang.