Penanggal. Selaku orang Melayu, kisah seram mengenai penanggal sering kali Abang Nara dengar. Lebih-lebih lagi ketika pulang ke kampung. Memang seram terbayangkan hantu penanggal ni berpisah kepala dengan badan dan terbang mencari mangsa dengan usus yang terlekat di kepala. Mangsa yang dicari tak lain tak bukan wanita yang sedang melahirkan anak.
Mengikut imaginasi Abang Nara, rupabentuk penanggal lebih kurang macam gambar di atas. Seram kan? Jadi baru-baru ini apabila mendapat jemputan untuk menonton filem Penanggal arahan Ellie Suriaty, cuak jugak diri ni untuk menerimanya. Bukan apa, takut balik lepas tengok wayang ada terperasan benda-benda terbang akibat ketakutan yang melanda.
Setelah berfikir panjang, Abang Nara gagahkan diri jua untuk melangkah ke The Curve untuk menonton filem Penanggal terbitan Grand Brilliance dan Astro Shaw ini. Rugi rasanya jika melepaskan peluang untuk melihat lakonan hebat Ummi Nazeera, Fasha Sandha, Azri Iskandar, Zul Ariffin dan Datuk Sharifah Aini. Lagipun Abang Nara memang “die hard fans†Ummi Nazeera sejak melihat lakonannya dalam drama Nur Kasih dulu.
Nampak cantik kan Ummi Nazeera di atas? Hayatilah kecantikannya kerana dalam filem Penanggal, memang wajah Ummi sangat lain. Bayangkan Ummi yang comel ini tiba-tiba bertukar menjadi garang, bengis, berdarah, menyeramkan dan seriau mata memandang apabila bertukar menjadi Penanggal. Hampir mengalir air mata Abang Nara namun itulah kehebatan teknik solekan yang digunakan dalam filem sera m ini. Memang boleh dipuji.
Mengisahkan Murni (Ummi Nazeera) yang mewarisi saka penanggal daripada neneknya dan menimbulkan kekacauan di kampung yang disinggahinya, kemunculan Syed Yusof (Azri Iskandar) yang merupakan seorang penuh dengan ilmu agama dilihat dapat menyelamatkan Murni daripada kesesatan itu. Salah satu kekuatan filem Penanggal yang menelan belanja RM2.8 juta ini ialah mutu lakonan kesemua pelakonnya terutama Zul Ariffin yang memberikan impak maksima dengan watak lelaki yang nampak seperti jahat tetapi mempunyai hati yang bersih.
Sinematografi filem Penanggal juga seharusnya dipuji kerana berjaya menimbulkan keseraman dan keindahan hutan dalam masa yang sama. Namun bagi Abang Nara, kekuatan filem Penanggal ini adalah daripada segi penceritaannya yang mudah difahami. Tidak ada kecelaruan, akhiran yang mengelirukan atau babak yang tidak masuk akal. Kesemuanya mudah untuk dihadam oleh para penonton tanpa perlu berfikir panjang. Nilai hiburan sebegini memang sukar dicari dalam filem seram.
Salah satu adegan yang Abang Nara tidak boleh lupa ialah ketika Murni bergelut di dalam lumpur. Memang terserlah kepayahan Murni untuk cuba bangun daripada lumpur yang menyaluti dirinya. Daripada pemahaman Abang Nara, lumpur itu menggambarkan kegelapan dan kejahatan yang ada di dalam diri Ummi. Namun Murni cuba untuk keluar daripada kegelapan itu dengan usaha yang sekuat hati.
Berjaya atau tidak untuk Murni pulang ke jalan yang diredhai Allah dengan bantuan Syed Yusof? Nak tahu kenalah pergi menonton filem Penanggal yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 28 November ini. Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan sebuah filem yang mendapat pujian bukan sahaja daripada media tempatan, tetapi juga media antarabangsa. Tempah tiket hari ini juga . Takut-takut sold out nanti.