Rosyam Nor, pelakon yang tidak perlu diperkenalkan dan terkenal dengan sikap profesional beliau dalam bekerja. Kalau sekarang kita lihat beliau sudah berjaya dan mempunyai syarikat produksi sendiri dikenali sebagai Suhan Movies, namun tersimpan seribu satu kepayahan dan cabaran untuk beliau mencapai kejayaan seperti sekarang.
Merupakan seorang anak setinggan satu ketika dahulu, Rosyam Nor menceritakan kemiskinan dan pahit getir beliau sebelum bergelar artis dalam biografinya yang bertajuk Impian Jutawan Budak Setinggan yang dilancarkan semalam.
Pernah anda bayangkan bagaimana sulitnya kehidupan kami sebagai anak setinggan ketika itu? Realitinya, itulah yang kami sekeluarga lalui. Selain berkongsi sebatang berus gigi dan selimut, kami juga menggunakan kain karung guni selain turut berkongsi sehelai tuala mandi.
Paling meruntun hati saya sehingga sekarang saat melihat sendiri bagaimana emak mengambil upah membasuh baju-baju jiran berbangsa Cina dan India dengan upah yang tidak seberapa demi menampung perbelanjaan kami sekeluarga.
Jelas Rosyam, beliau menerbitkan buku tersebut untuk memberikan motivasi kepada mereka diluar sana untuk tidak putus asa dengan cabaran serta dugaan yang dihadapi dan bangkit untuk mengubah hidup mereka.
Kalau diikutkan, dari 10 tahun lepas lagi saya sudah berniat mahu menulis (buku) tetapi tiada kepakaran. Sehingga diberi peluang untuk mencoret di sebuah ruang khas di dalam sebuah akhbar, saya mula belajar menulis sehingga lahirnya karya ini.
Saya pasti tidak ramai yang tahu di sebalik kejayaan dan populariti insan bernama Rosyam Nor hari ini, suatu ketika dia pernah bergelar anak setinggan yang sangat daif hidupnya. Jadi buku inilah yang akan menvisualkan perjalanan hidup saya. Bukan meraih simpati, tetapi sebagai perkongsian motivasi.
Kami pasti ramai peminat Rosyam Nor yang ingin tahu kisah disebalik kejayaan beliau. Sekali sekala kalau artis dapat memberikan motivasi kepada masyarakat ada baiknya juga.