Tahun lepas pelakon, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad telah menunaikan ibadah haji. Sehubungan itu, dia kini mengamalkan prinsip tidak mahu berpegangan tangan dengan bukan mahram dan terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon filem dan drama sejak itu.
Katanya kepada mStar Online, ia satu cabaran yang perlu dilalui setelah menunaikan haji:
Saya banyak tolak tawaran berlakon drama dan filem kerana masa yang tidak sesuai dengan komitmen sebagai pengacara beberapa program.
Selain itu, saya mahu menjaga batas antara lelaki dengan wanita bukan mahram, kalau berlakon susah nak elak terutama jika ada adegan bersentuhan.
Mungkin ada yang menganggap Nabil berlagak alim, tetapi Nabil berkata dia tidak berniat begitu, sebaliknya dia cuma mahu memperbaiki dirinya untuk menjadi insan lebih baik.
Saya tidaklah berubah secara drastik, saya lebih suka orang selesa dengan saya dengan cara begini seperti Nabil yang dulu.
Biarlah orang tidak nampak perubahan saya.
Nabil kini juga sedang belajar mengaji Quran secara persendirian dengan seorang ustaz yang datang ke rumahnya:
Sekarang saya sedang belajar mengaji, ada seorang ustaz yang akan datang ke rumah ajar kami sekeluarga. Isteri saya tidak ada masalah kerana dia pandai mengaji cuma tidak boleh mengajar saya.
Kalau dia yang ajar asyik ketawa sahajalah kami, jadi terpaksa panggil orang luar.
Perubahan yang cuba dilakukan oleh Nabil ini ialah sesuatu yang baik. Walaupun perubahan itu mungkin orang tidak nampak tetapi yang penting niat itu ada. Semoga Nabil akan terus istiqamah dengan perubahan yang ingin dilakukannya.