Menanti sekian lama untuk menyiapkan album terbaru mereka, pastinnya kumpulan Wings kecewa apabila 4 lagu daripada album Menakluk Kosmos telah pun dicetak rompak. Hati mana yang tak sedih usaha gigih selama ini senang-senang sahaja dipergunakan oleh orang lain untuk mengaut keuntungan. Akhirnya Wings terpaksa membuat laporan polis selepas penerbit album mereka, KRU bersikap dingin dalam menangani isu ini.
Kata Awie menerusi Harian Metro hari ini:-
Kami bukan nak cari masalah dengan sesiapa. Kami buat laporan sebab nak dapatkan pencerahan. Nak tak nak kami kena buat laporan. Kami nak dapatkan pencerahan mengenai kes cetak rompan ini sebab usaha Joe berbincang dengan mereka (KRU) tidak dilayan. Bukan nak salahkan sesiapa cuma pelik dan kesal bagaimana lagu itu boleh bocor sebelum album dipasarkan.
Laporan polis telah pun dilakukan di Balai Polis Taman Melawati Hulu Kelang. Bercakap pasal cetak rompak ini, teringat kes KL Gangster 2 yang turut dicetak rompak beberapa bulan sebelum tayangan. Nampaknya tragedi yang lebih kurang sama telah menimpa Wings. Diharap Awie dan rakan-rakannya tabah menghadapi dugaan ini. Apa pun kepada peminat Wings, jangan lupa dapatkan album Menakluk Kosmos apabila ia berada di pasaran kelak.