Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, pada Selasa memerintahkan pelakon Shahrizal Jaszle membela diri atas tuduhan melakukan khalwat dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 23, pada 16 Mei 2013.
Memetik laporan mStar Online, Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya elemen kes yang boleh disabitkan ke atas tertuduh.
Sehubungan itu, Abd Halim memerintahkan Shahrizal atau sebelum ini dikenali dengan nama Shahz Jaszle membela diri sama ada secara memberi keterangan bersumpah, keterangan tidak bersumpah atau berdiam diri.
Kes berkenaan disambung pada 8 Disember depan. Sebelum ini, Farah Nurizzati telah pun mengaku bersalah atas tuduhan khalwat ini dan diarahkan membayar denda.
Dalam kejadian 16 Mei 2013, Shahrizal dan pasangannya Farah Nurizzati telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang dekat sini kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Semoga kes ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. Sama-sama kita doakan.