Dikritik oleh pelakon Ogy Ahmad Daud bahawa beliau sepatutnya meninggalkan Gegar Vaganza 3 kerana berdrama di atas pentas, Elly Mazlein bagaimanapun enggan memanjangkan isu berkenaan ataupun bergaduh dengan Ogy.
Elly menghormati Ogy sebagai seorang yang lebih tua bahkan seperti ibunya sendiri. Namun, Elly akui Ogy mungkin boleh menggunakan cara lain untuk meluahkan pendapatnya itu.
Pada saya banyak cara dia boleh bercakap termasuk menegur saya secara peribadi jika tidak berpuas hati tetapi perkara sudah pun berlaku dan saya ingin lupakan sahaja. Biarpun dia serang saya tetapi saya tetap menghormatinya bukan sahaja sebagai pelakon senior dan orang yang lebih tua daripada saya tetapi melihatnya sebagai seorang ibu.
Hendak bergaduh pun sampai bila? Ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan dan saya terima sahaja apa yang orang hendak katakan kepada saya.
Ogy dikecam teruk oleh netizen kerana kritikannya itu tetapi beliau tetap dengan pendiriannya itu dan mendakwa beliau mengenali siapa Elly. Menurut Ogy, Elly pernah berlakon didalam drama arahannya sebelum ini.
Perkara itu diakui Elly, tetapi sudah 11 tahun mereka tidak bekerjasama lagi dan Ogy sebenarnya tidak mengenali Elly dengan mendalam. Hubungan yang terjalin antara mereka sekadar profesional di set.
Apabila Kak Ogy mengatakan dia kenal saya, saya sebenarnya tidak mengenalinya secara peribadi untuk mengulas panjang tentang tujuannya mengkritik saya.
Kami bekerjasama pun 11 tahun lalu dan itu pun dia hanya sempat mengarah separuh sahaja drama berkenaan sebelum diganti orang lain kerana masalah tertentu.
Kita semua tahu Ogy Ahmad Daud memang lantang bersuara dan agak tegas orangnya. Benar kata Elly, untuk apa terus bergaduhan kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa masalah pun.