Tidak mahu terus difitnah dan dikecam keluar berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrimnya, pelakon yang terkenal menerusi drama Dia Semanis Honey, Nadya Syahera  mendedahkan beliau telah bernikah dengan Fizul Nawi pada 25 September lalu.
Mereka berkenalan selama lapan bulan sahaja dan majlis pernikahan Nadya dan Fizul diadakan secara kecil-kecilan dengan kehadiran keluarga rapat kedua-dua pihak.
Pernikahan ini bukan sahaja untuk mengelakkan fitnah malah ia turut melegakan keluarga saya dan Fizul apabila kami selalu keluar serta bercuti bersama. Lalu dengan persetujuan keluarga, kami dahulukan yang wajib sebelum mengadakan majlis kenduri dan persandingan pada pertengahan tahun depan.
Alhamdulillah, kami sekarang bebas pergi ke mana saja. Dengan peminat juga senang saya nak jawab yang kami sudah menikah. Bagaimanapun, pernikahan ini belum ramai yang tahu jadi Fizul muat naik gambar di Instagram dan membuat sedikit coretan mengenai status kami.
Buat Nadya apa salahnya untuk mengumumkan perkara yang baik.
Hubungan kami sudah halal jadi tiada apa yang nak disembunyikan lagi. Perkara yang baik elok diuwar-uwarkan agar tidak lagi menjadi bualan ramai apabila melihat kami keluar berdua-duaan.
Berbicara mengenai perkenalan mereka, Nadya berkenalan dengan Fizul yang merupakan seorang pengusaha cafe dan model sambilan menerusi laman sosial Facebook. Menurut Nadya, keserasian antara mereka juga  adalah salah satu sebab mereka mendirikan rumah tangga awal.