Awal tahun ini, bertebaran gosip di internet mengenai pelakon Dynas Mokhtar yang dikatakan telah bercerai dengan suaminya, Hafizy Hafiz. Namun perkara ini dinafikan oleh Dynas dan suaminya sekitar April melalui akhbar Berita Harian (BH).
Tup tup hari ini Dynas, juga melalui BH, tampil semula untuk mengesahkan yang dia sebenarnya telah bercerai talak satu dengan Hafizy pada 25 Februari lepas. Perceraian mereka disahkan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, setelah hampir ulangtahun ke-enam pernikahan mereka yang sepatutnya pada 25 Mac.
Perkahwinan mereka dikurniakan sepasang anak iaitu Khyra Khalysa dan Mohamed Haqaish. Kata Dynas, mereka bercerai kerana tidak lagi mesra seperti dulu:-
Masalah komunikasi menyebabkan hubungan kami jadi hambar. Tak macam awal perkahwinan, komunikasi menjadi teras kekuatan kami. Kami berkongsi itu dan ini. Tetapi ketika kami bergelut mempertahankan perkahwinan ini, masing-masing buat hal sendiri.
Boleh dikatakan kami bercakap pun hanya fasal anak. apabila sudah lama tidak berkomunikasi, asal bercakap saja boleh jadi gaduh. Ketika ini saya mula sedar, apa yang penting suami isteri mendengar dulu apa yang mahu pasangan mereka luahkan sebelum pantas memberikan maklumbalas.
Dynas mendakwa dia mengalami kemurungan sehingga menemui pakar psikiatri selama berdepan dengan masalah rumahtangga.
Bagaimanapun dia memberitahu yang Hafizy ialah seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Untuk bersama semula dia menyerahkan pada Yang Esa, cuma dia dan Hafizy keduanya kini mencuba untuk tidak memandang ke belakang lagi. Keduanya akan terus berbaik demi anak-anak.
Takziah diucapkan buat Dynas dan bekas suami. Mungkin ini ialah jalan terbaik buat mereka kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk hidup mereka.