Pemergian Datuk Aziz Sattar sememangnya meninggalkan satu kesan yang cukup mendalam kepada industri hiburan tanah air lebih-lebih lagi kepada mereka yang bergelar pelawak. Namun begitu, ketika majlis pengkebumian beliau, tidak kelihatan pelawak-pelawak muda yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Perkara ini nyata mengecewakan AR Badul yang meluahkan rasa marah dan terkilan dengan sikap para pelawak generasi baharu ini.
Secara jujur, memang wajar untuk AR Badul meluahkan rasa kecewanya dengan apa yang terjadi lebih-lebih lagi dengan status Allahyarham Aziz Sattar sebagai pelawak lagenda yang banyak memberi tunjuk ajar kepada pelawak-pelawak muda. Kata AR Badul:-
Jangan beri alasan rakaman dan sebagainya, pihak penerbit juga patut berikan perlepasan kerana kita kena ingat yang meninggal ini seorang legenda seni yang banyak berjasa.
Pelawak generasi muda seolah-olah tidak hormat kepada arwah walaupun sebelum ini pernah menggunakan dialog jenaka yang dipopularkan Allahyarham dalam pertunjukan masing-masing.
Kehadiran artis lama dan pelbagai lapisan generasi juga akan dilihat sebagai lambang kesatuan mereka. Ramai artis lebih senior dan orang kenamaan juga hadir tetapi mereka (pelawak muda) tidak ambil kisah.
Kalau tak silap Abang Nara, minggu lepas ada terbaca yang pelawak-pelawak muda ini seperti Zizan Razak, Shahroll Shiro dan ramai lagi tidak dapat hadir kerana kekangan jadual penggambaran. Kalau pihak produksi tak bagi perlepasan, memang sukar untuk mereka mencuri sedikit masa untuk menziarahi Allahyarham. Tak apalah. Semoga di masa hadapan, kesemua pihak lebih sensitif dan bertimbang rasa lebih-lebih lagi kalau melibatkan pemergian seorang legenda seni tanah air. Apa pun, sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah kepada Datuk Aziz Sattar.