Berbakat juga Felixia Yeap ini menulis. Mungkin kalau diasah boleh jadi penulis novel cinta, penulis blog atau penulis skrip yang hebat. Untuk makluman anda, hari ini 3 Julai adalah hari Felixia Yeap memeluk Islam. Lokasi dirahsiakan, tiada media dipanggil dan yang hadir menemani si gadis ini ialah ahli keluarga terdekatnya. Menerusi tulisan di blognya, Felixia menganggap tarikh hari ini ialah hari kelahiran semula bagi dirinya.
Agak panjang lebar penulisan Felixia Yeap di blognya, daripada kesusahannya semasa belajar di kota Kuala Lumpur. Pekerjaannya sebagai model. Kesanggupan menahan godaan arak, rokok, dadah dan juga kemewahan yang ditawarkan oleh lelaki-lelaki di luar sana. Agak menarik sebenarnya kisah Felixia Yeap. Boleh dijadikan pengajaran untuk kita. Antara yang menarik ialah:-
Dengan mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara kehidupan yang dikatakan “mewah” dan bahagia. Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan.
Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling “happening” yang mereka dapat pergi, rasa “happy” janji dapat minum dan mabuk, berapa yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.
Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana. Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu. Saya tidak lagi rasa “impressed” atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.
Saya yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya supaya terus istiqamah. Tidak ada sebarang media yang akan hadir.
Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya…tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya. Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.
Felixia Yeap juga memaklumkan yang dia akan mengekalkan nama Cina miliknya yang telah diberi oleh ibunya. Maksud nama tersebut ialah “Ketenangan, Keanggunan” atau di dalam bahasa Inggeris, “Silent Grace”. Apa pun, selamat datang ke Islam Abang Nara ucapkan kepada Felixia. Semoga akan lebih tenang selepas ini.
ini.