October 7th, 2016

Sekitar minggu lepas, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita dimana ada pihak mengatakan pakar motivasi Azizan Osman telah memalsukan ijazah kedoktoran beliau.

Malah, isu itu cukup hangat dan mendapat liputan luas media selepas pihak Universiti Malaya dalam satu kenyataan menafikan pernah memberi sebarang ijazah kepada Azizan.

Lama berdiam diri meskipun isu berkenaan sudah menjadi viral, semalam Azizan menerusi syarikatnya Richworks telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan isu sebenar disebalik kontroversi hangat ini.

Menurut Azizan, beliau telah diperdaya oleh pihak tertentu yang tidak mewakili UM. Pihak Azizan juga telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Berkenaan dengan Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Malaya, kami telah dimaklumkan bahawa Dr. Azizan Osman telah malangnya disasarkan dan diperdayakan oleh pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut. Kami telah pun membuat laporan polis dan perkara ini sedang disiasat.

Namun, pihak Azizan menegaskan pakar motivasi  itu masih memiliki ijazah kedoktoran dalam sains metafizik dari Gordon University di Florida, Amerika Syarikat sejak 2009. Malah, Azizan kini sedang dalam roses untuk mendapatkan satu lagi ijazah kedoktoran dalam bidang psikologi di Universiti Hertfordshire, United Kingdom.

Kita nantikan sahaja perkembangan lanjut mengenai dakwaan Azizan Osman yang beliau telah diperdaya. Jika tidak bersalah, teruskan memperjuangkan kebenaran.

Sumber Berita : Facebook Azizan Osman

September 30th, 2016

Isu mengenai status sebenar ijazah doktor falsafah (PhD) yang dimiliki oleh pakar motivasi Azizan Osman terus menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila semalam pihak Universiti Malaya telah mengeluarkan kenyataan bahawa merek tidak pernah memberikan sebarang ijazah kedoktoron kepada Azizan.

Hari ini, dua lagi universiti tempatan telah tampil membuat penafian menganugerahkan PhD kepada Azizan.

Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi jurucakapnya berkata, nama Azizan Osman tidak tersenarai dalam penerima dianugerahkan PhD oleh universiti berkenaan.  Menurut beliau, berdasarkan semakan teliti oleh pihak UKM mereka  mendapati tiada individu dengan nama sedemikian memiliki PhD dalam jurusan psikologi seperti didakwa.

Sebaik isu ini diperkatakan, pihak Pusat Siswazah terus membuat semakan dan tiada individu dengan nama Azizan Osman memiliki ijazah PhD dari UKM.

Selain daripada UKM, Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) juga mengesahkan mereka tidak pernah menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD kepada Azizan.

Pihak IUKL mengesahkan tidak pernah menganugerahkan kedua-dua ijazah itu kepada Azizan Osman.

Sehingga kini Azizan Osman tidak tampil membuat sebarang komen  lanjut mengenai kontroversi hangat yang melanda dirinya.

Sumber Berita : BH ONLINE

September 29th, 2016

Baru-baru ini, beberapa pihak mempertikaikan status sebenar PhD yang dimiliki oleh pakar motivasi terkenal Azizan Osman. Ramai yang ingin tahu apakah benar beliau memiliki ijazah berkenaan atau iainya palsu untuk tujuan menyakinkan orang ramai.

Susulan perkara viral itu, pihak Universiti Malaya ( UM) hari ini menegaskan tidak pernah menganugerahkan sebarang Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.

Kenyataan tersebut dilakukan oleh UM menerusi akaun Facebook rasmi mereka.

Universiti Malaya (UM) ingin menarik perhatian umum berhubung status Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan yang didakwa dianugerahkan oleh pihak UM kepada Encik Azizan Osman sepertimana yang dibangkitkan di laman-laman media sosial.

Pihak Universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman.

Semoga penjelasan ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut.

Menerusi laman web Richworks iaitu syarikat milik Azizan, ia jelas memberitahu beliau memperoleh Ph.D (Hon) Entrepreneurship (UM).

Azizan bukan sahaja terkenal sebagai pakar motivasi tetapi beliau seorang usahawan dan penulis yang berjaya.  Malah, beliau dikatakan pernah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai penganjur seminar motivasi terbesar di Malaysia

Setakat ini Azizan sendiri belum mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan ini.

Sumber Berita : Facebook University Malaya