June 8th, 2016

Semalam, Datuk Seri Shah Rezza ada meluahkan rasa bengang beliau kerana terpaksa menunggu seorang artis diva sehingga dua jam bagi menjalani penggambaran program bual bicara. Shah Rezza juga terkilan dengan sikap artis tersebut yang langsung tidak memohon maaf atas kelewatannya itu.

Menjawab segala kenyataan Shah Rezza, pengarah rancangan Teh Tarik Che Ta , Yusmal Ghazali memberitahu sebenarnya tiada artis yang datang lewat.

Tiada artis terlambat pun pada sesi rakaman itu kerana saya bagi masa call time pukul 9.30 malam lepas solat Isyak sebab saya faham ada yang ingin mengerjakan solat Terawih.

Jadi saya bagi masa mereka sama ada untuk datang ke lokasi pada pukul 5 petang bagi yang ingin buat soundcheck  dan latihan.

Bagi yang sudah biasa menyanyi seperti Maya Karin dan Farahdhiya mereka tidak perlu ke sesi latihan itu.

YusmalGhazali (tengah)

Yusmal mengakui beliau tidak tahu apa-apa mengenai isu berkenaan dan terkejut apabila Shah Rezza meminta untuk menarik diri pada saat akhir atas alasan masalah kesihatan.

Saya tidak tahu beliau terasa hati terpaksa menunggu lama kerana saya diberitahu dia meminta untuk balik kerana kurang sihat.

Saya beritahu dia kenapa tidak beritahu awal dan pihak kami juga tidak mahu memaksa, malah boleh mencari pengganti tempatnya.

Ermmh, kalau tiada artis yang datang lambat takkanlah Datuk Seri Shah Rezza nak bengang begitu. Apa-apa pun, harap kedua-dua pihak dapat berbincang secara baik agar isu ini tidak berpanjangan.

Sumber Berita : mStar Online

June 7th, 2016

Pelakon yang popular sekitar tahun 80 an, Datuk Seri Shah Rezza tidak dapat menahan lagi rasa sabar beliau selepas terpaksa menunggu seorang artis yang agak diva selama dua jam bagi menjalani rakaman untuk program Hari Raya.

Kecewa dengan sikap artis berkenaan, Shah Rezza bertindak untuk meninggalkan set penggambaran dan tidak mahu terlibat dalam program berkenaan.

Semalam saya menunggu seorang artis selama dua jam di lokasi rakaman program bual bicara raya, akhirnya saya ambil keputusan untuk balik sahaja.

Pihak produksi berjanji untuk mulakan rakaman awal dan saya sudah bersiap sedia, namun disebabkan artis tersebut tidak sampai, rakaman ditundakan sehinggalah hampir masuk waktu berbuka puasa.

Malah Shah Rezza juga terkilan kerana artis berkenaan tidak memohon maaf atas kelewatannya.  Pernah bekerjasama dengan Aaron Aziz didalam drama Tuan Anas Mikael, Shah Rezza memuji sikap aktor itu yang berbudi bahasa dan menghubungi beliau secara peribadi dan memohon maaf kerana lewat ke lokasi penggambaran.

Sebelum ini saya ada berlakon dengan artis terkenal seperti Aaron Aziz dan jika dia lambat ke lokasi dia akan mesej saya secara peribadi untuk minta maaf kerana lewat.

Itu adalah cara sebenar untuk menghormati orang lebih tua daripada kita, perkara ini saya sudah praktikkan ketika saya muda lagi. Pada saya perlu ada rasa hormat antara artis baru kepada artis lama.

Manusia ini ada batas kesabaran masing-masing, kalau lewat sehingga setengah jam itu tidak lah teruk sangat, tetapi kalau sudah beberapa jam memang tidak patutlah. Tiada siapa yang suka menunggu lama-lama bukan? Apa salahnya untuk meminta maaf dan memaklumkan kepada pihak produksi jika tidak dapat hadir awal ke lokasi.

Sumber Berita : mStar Online

November 26th, 2015

Sudah lama pelakon popular sekitar tahun 80-an, Datuk Seri Shah Rezza tidak aktif dalam dunia lakonan dan hanya menumpukan pada perniagaan beliau.

Namun,  beliau kini sudah kembali aktif dalam bidang lakonan dan mencuri hati penonton menerusi watak Pak Hamid yang merupakan seorang pengawal keselamatan didalam drama adaptasi novel Tuan Anas Mikael.

Walaubagaimanapun, ada segelintir pihak yang bertanya tidak kah Shah Rezza merasa malu untuk melakonkan watak seorang pak guard yang seakan merendahkan status beliau sebagai seorang yang amat terkenal dan disegani.

Ini jawapan beliau:-

Apa salahnya jadi pak guard? Bagi saya, melakonkan watak yang berlainan dengan diri kita adalah erti pelakon sebanar. Saya tidak kisah dan bersedia diberikan apa sahaja watak.

Kalau dilihat sejak saya aktif sekitar 80-an pun watak saya hanya watak pembantu sahaja bukan watak-watak besar pun. Jika dikatakan tidak sesuai atau setaraf dengan kedudukan saya sekarang itu adalah silap kerana saya tidak pernah membezakan taraf kehidupan saya dengan orang lain.

Malah, pada awal kemunculan beliau dalam bidang seni, Shah Rezza yang merupakan kerabat diraja dari Kelantan tidak pernah menonjolkan statusnya itu.

Shah Rezza enggan memakai nama sebenar bagi mengelakkan rasa pilih kasih segelintir pihak terhadap dirinya.

Pada usia 14 tahun ketika itu saya duduk di Istana Negara, saya minta untuk menceburi bidang peragaan dan seni dan ibu saya nasihatkan agar tidak guna nama sebenar.

Saya mahu dikenali dengan nama Shah Rezza sahaja supaya kawan-kawan dan orang sekeliling saya tidak memberikan kelebihan kepada saya hanya kerana saya kerabat diraja.

Apa yang dikatakan oleh Shah Rezza itu betul, dalam lakonan kadang-kadang kita tidak boleh fikir untuk popular sahaja dan tidak salah pun untuk menerima watak pembantu meskipun artis itu sudah terkenal.  Meskipun watak Pak Hamid itu kecil, kami rasa ia masih mampu mencuit hati penonton bukan? Hehe

Sumber Berita: mStar Online