May 23rd, 2016

Kemelut antara Yazit dan ahli kumpulan Search cukup menarik perhatian media sejak beberapa minggu ini. Mana tidaknya, kumpulan rock yang cukup lama bertahan didalam industri hiburan tanah air ini kini dihimpit dengan masalah yang menggugat bukan sahaja kumpulan mereka tetapi persahabatan juga.

Dakwa Yazit, sejak beliau menderita dengan pelbagai penyakit, ahli kumpulan Search yang lain iaitu Amy, Nasir, Din dan Kid seakan mahu menyingkirkan beliau daripada Search.

Buat Yazit, beliau tetap akan membuktikan kebenaran bahawa beliau teraniaya dan segala dakwaan beliau terhadap Search adalah benar.

Saya mahu mencari kebenaran. Saya masih menunggu peguam untuk mendakwa mereka ke mahkamah.

Saya tidak kisah, saya selalu kena kutuk sejak sakit. Bukan saya tidak tahu, ada anggota Search malu dan tidak kuasa menjaga orang sakit seperti saya. Saya dipandang hina! Saya tidak buat cerita, tetapi itulah suara hati mereka, kadang-kadang terlepas cakap pada saya.

Yazit pada masa yang sama memberitahu, keharmonian kumpulan Search yang sudah ditubuhkan berpuluh tahun terjejas kerana berpunca daripada cara kehidupan mereka. Jelas Yazit, ahli kumpulan itu mula lupa diri.

Semuanya berpunca daripada cara kehidupan. Mereka lupa diri. Jujurnya, saya sudah nampak mereka mahu menyingkirkan saya sejak Konsert Search Live In Istana Budaya pada tahun 2014. Mereka tidak letakkan saya dalam barisan pemain sebaliknya penganjur pula mahukan saya. Saya masih ingat saya main enam lagu bukan empat lagu seperti yang didakwa.

Bukannya Yazit tidak pernah cuba menyelesaikan masalah yang mereka hadapi secara baik, tetapi percubaan Yazit untuk bertanyakan soal bayaran dan pertanyaan lain gagal apabila tiada ahli kumpulan Search yang mahu bertemu dengan beliau.

Pada masa yang sama, Yazit juga tidak gentar jika beliau disaman kerana mengeluarkan kenyataan serta dakwaan terhadap Search. Niat beliau bukan untuk menjatuhkan nama kumpulan itu tetapi ingin mendapatkan keadilan buat dirinya.

Sumber Berita : Berita Harian

Advertisement