June 27th, 2016

Baru-baru ini, Scha Alyahya, suaminya Awal Ashaari dan anak mereka Lara Alana berpeluang untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah. Mereka mula menunaikan umrah pada 12 Jun sehingga 22 Jun lepas.

Sudah kembali ke tanah air, Scha meluahkan rasa syukur kerana ibadah serta urusan mereka ketika berada di tanah suci dipermudahkan.

Buat Scha ia adalah satu pengalaman serta nikmat yang tidak ternilai dan tidak mampu digambarkan dengan kata-kata apabila dapat menunaikan umrah bersama keluarganya terutama sekali di bulan Ramadhan yang mulia.

Berbicara mengenai pengalamannya itu, Scha memberitahu beliau menitiskan air mata  apabila tiba di Masjidil Haram dan melihat Kaabah didepan matanya.

Alhamdulillah, sepanjang di sana segala urusan ibadah kami dipermudahkan. Apa yang penting adalah niat setiap kali nak melakukan rukun umrah itu. Cuma perlu sentiasa berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang dilarang.

Apabila melihat Kaabah depan mata, saya menangis. Saya tidak sangka dapat menjadi tetamu Allah. Bukan apa, saya sentiasa sedar diri sebagai manusia biasa tidak ada yang sempurna.

Pada masa sama tidak terlepas melakukan kesilapan dan dosa. Perasaan ketika itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah yang lebih mengetahui. Ia meninggalkan makna berbeza dalam diri. Inilah satu-satunya tempat yang sentiasa memberikan ketenangan tanpa mengira waktu.

Pada mulanya Scha terasa agak sukar untuk berpuasa dan beribadah kerana cuaca disana melebihi 50 darjah Celsius namun beliau dapat membiasakan diri dengan keadaan itu selepas beberapa hari di Mekah. Scha juga lega kerana Lara tidak banyak meragam sepanjang mereka disana.

Bila pulang daripada umrah, tentu ramai yang ingin tahu adakah Scha bakal berhijab selepas ini? Menurut Scha, beliau ingin berubah ke arah kebaikan dan sentiasa berdoa agar pintu hatinya terbuka untuk menutup aurat satu hari nanti.

Sumber Berita : Harian Metro