November 30th, 2015

Kes cerai antara Awie dan Rozana Misbun hari ini telah dibicarakan lagi di Mahkamah Majistret Ampang Jaya.

Dalam perbicaraan hari ini, seorang saksi iaitu Zaila Zahid yang merupakan pegawai bank di cawangan Alliance Bank Ampang memberikan keterangan bahawa beliau melihat hidung serta telinga Rozana berdarah sewaktu  beliau ke kaunter untuk mengeluarkan wang berjumlah RM29,650.

Tidak mengesyaki apa-apa, Zaila menasihati Rozana untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana bimbang beliau tidak sihat.

Namun, tidak berapa lama kemudian Zaila yang ketika itu sedang sibuk menguruskan urusan pengeluaran tersebut berkata Awie tiba-tiba muncul dan mengambil wang tersebut selepas  ia diletakkan di atas kaunter.

Ketika Rozana datang ke kaunter, saya lihat dia sedang menutup muka dan hidungnya. Dan apabila dia menandatangani borang pengeluaran wang, saya nampak hidungnya berdarah. Saya pun tanya, kenapa? Dan dia hanya menjawab ‘Shhh…’

Selepas saya menguruskan kerja-kerja pengeluaran duit, Awie muncul dan mengambil duit yang saya letakkan di atas kaunter. Kemudian saya juga melihat seperti ada darah pada telinga Rozana.

Dalam kenyataan Rozana sebelum ini, beliau mengatakan Awie bertindak menumbuk mukanya bertubi-tubi selepas berlaku perselisihan faham di rumah sewa mereka.

Pertengkaran mula berlaku apabila Awie menuduh beliau mencuri wang milik suaminya itu meskipun berkali-kali menjelaskan ia digunakan untuk perbelanjaan keluarga malangnya Awie tetap tidak percaya.

Mengikut pertuduhan kes, Awie didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang tahun lalu.

Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan perbicaraan disambung pada 12 Januari 2016.

Sumber Berita: mStar Online

November 25th, 2015

Baru-baru ini, Awie ada memberitahu bahawa beliau akan membuat bantahan terhadap permohonan interim ataupun nafkah anak sementara yang dibuat oleh Rozana Misbun secara mengejut kerana mempercayai wanita itu cuba untuk mensabotaj dirinya yang ketika itu sedang sibuk dengan persiapan Konsert Wings 30 Tahun .

Tambah Awie, Rozana juga tidak memberikan sebarang alasan kukuh ataupun penjelasan lanjut  untuk permohonan tersebut apatah lagi selepas Rozana tidak hadir ke mahkamah berhubung permohonannya itu.

Terbaru, Rozana dalam kenyataan beliau kepada portal Utusan Online berkata beliau tidak kisah jika Awie tidak mahu memberikan nafkah anak dan biarlah penyanyi itu menanggung perbuatannya di akhirat nanti.

Kalau dia tak nak bagi (nafkah anak) saya reda, tetapi dia jawablah di akhirat nanti.

Namun, sebagai seorang ibu beliau nekad melakukan permohonan nafkah sebelum ini berdasarkan syariat Islam kerana Awie tidak pernah memberikan nafkah terhadap dua orang anak mereka.

Rozana dalam tuntutannya meminta responden iaitu Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 yang kini dibawah jagaannya.

Tegas Rozana, beliau tidak mahu dikaitkan lagi dengan nama Awie kerana beliau bukan isterinya lagi. Awie juga berhak untuk berkahwin.

Buat sekian kalinya saya te­gaskan saya bukan lagi isteri dia (Awie), saya hendak jelaskan hal ini dan dia boleh nikah lain.

Kami tidak mahu memberikan komen lebih mengenai kes mereka, tetapi jika ibu bapa yang mempunyai masalah tolonglah jangan libatkan anak. Meskipun kes sedang dibicarakan, kebajikan anak-anak haruslah dijaga kerana ia amanah Allah SWT.

Sumber Berita: Utusan Online

October 30th, 2015

Awie sebelum ini telah membuat bantahan permohonan interim ataupun nafkah anak sementara yang dibuat oleh isterinya Rozana selepas mendapati alasan yang dikemukakan oleh beliau tidak begitu jelas.

Terbaru, Awie juga mendakwa wanita itu seakan sengaja untuk menganggu tumpuan beliau terhadap Konsert Wings 30 Tahun yang bakal berlangsung pada 31 Oktober ini apabila beliau menerima surat permohonan nafkah itu secara mengejut sewaktu prosiding pertama kes berkenaan.

Pada saya tindakannya secara mengejut menghantar surat tentang prosiding permohonan nafkah interim anak sengaja mahu menggangu perhatian saya terhadap konsert pada Sabtu ini.

Dia bukan tidak tahu pada saat ini saya sibuk dengan latihan menjelang konsert yang berbaki dua hari lagi dan ini cubaan dia untuk menjahanamkan saya.

Malah Awie juga menganggap Rozana tidak serius dalam tuntutannya kerana beliau gagal untuk menghadirkan diri di mahkamah bagi prosiding kes mereka.

Jika dia benar-benar ingin mempertahankan hak anak-anak sepatutnya dia hadir ke mahkamah tetapi apa yang saya lihat dia tidak serius dan cuba lari dari kenyataan. Dia tidak ada hati pun sebenarnya hendak mendapatkan anak-anak cuma mahu menggangu karier saya sahaja.

Rozana dalam tuntutannya meminta responden iaitu Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 yang kini dibawah jagaannya.

Sumber Berita: mStar Online