Written by Bella | July 8th, 2015

Pelakon Raja Farah dan suami telah pun membuat keputusan untuk bercerai pada 25 Mei lalu selepas lima tahun mendirikan rumah tangga. Pasangan ini tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi mahupun terdapat khabar angin bahawa mereka sedang bergaduh dan ianya nyata mengejutkan ramai pihak apabila mereka bercerai.

Ada beberapa pihak yang mula berspekulasi tentang punca perpisahan mereka dan mengatakan punca utama perpisahan tersebut adalah kerana Raja Farah gagal untuk memberi zuriat.

Walaubagaimanapun, Raja Farah menafikan perkara tersebut dan meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir masyarakat yang menyalahkan beliau atas segala yang berlaku dengan menuduh menggunakan kata-kata kurang enak bahawa beliau tidak mampu untuk mendapatkan zuriat.

Saya sedih bila baca komen di blog-blog hiburan terdapat segelintir masyarakat masih menyalahkan saya dalam perpisahan ini dengan mereka melemparkan kata-kata yang saya tidak mampu beri anak.

Sebenarnya itu semua bukan sebab kami berpisah, namun saya tidak boleh dedahkannya kerana menghormati arahan mahkamah syariah. Apa yang boleh saya beritahu ialah kami tiada persefahaman lagi.

Menurut Raja Farah, rumah tangga mereka mula bermasalah pada tahun ketiga perkahwinan apabila mereka mengambil keputusan untuk tinggal berjauhan.

Pada tahun pertama dan kedua tiada masalah sehinggalah apabila kami mula berjauhan. Dari situ, satu persatu masalah timbul. Mungkin betul juga kata orang kami berkahwin pada usia yang terlalu muda dan ketika itu masih belum matang.

Lima tahun hidup dalam berumah tangga, Raja Farah mengakui ia memberikan banyak pengajaran berguna buat beliau di masa hadapan. Buat masa ini, beliau masih lagi trauma dan bersikap lebih berhati-hati untuk mengenali seorang lelaki.

Raja Farah dan Megat Qhuyum Zakaria mendirikan rumah tangga pada 12 November 2010 sebelum bercerai pada 25 Mei 2015 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dalam satu prosiding tertutup.

Sumber Berita : mStar Online

Written by Bella | May 25th, 2015

Desas-desus mengenai permasalahan rumah tangga Raja Farah telah terjawab apabila aktres tersebut telah sah bercerai talak satu dengan suaminya Megat Bashirun Qhuyum Zakaria  hari ini selepas berkahwin selama lima tahun.

Lafaz cerai telah dilakukan oleh Megat Qhuyum di hadapan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Raja Farah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada 5 Mei lalu, kerana tiada lagi persefahaman di antara mereka selain sudah tidak tinggal sebumbung sejak dua bulan yang lalu.

Pada prosiding itu, Raja Farah ditemani bapa dan peguamnya Muhammad Nur Hafiz Roslan.

Sumber Berita: Berita Harian

 

Written by Bella | May 25th, 2015

Sekitar tahun 2014, timbul gosip bahawa rumah tangga yang dibina oleh aktres Raja Farah dan suami Megat Qhuyum sedang berantakan. Walaubagaimanapun, pada masa tersebut Raja Farah menafikan khabar angin itu dan menyatakan hubungan beliau dan suami masih baik.

Terbaru dalam satu kenyataan kepada Berita Harian, Raja Farah mengakui sudah memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta  tanggal 5 Mei lalu dan kes tersebut bakal dibicarakan pada hari ini.

Jelas Raja Farah, ini merupakan jalan penyelesaian yang terbaik buat mereka kerana tiada lagi persefahaman. Malah, aktres tersebut dan suami tidak lagi tinggal sebumbung sejak dua bulan yang lalu. Suaminya berada di Kelantan dan Raja Farah pula sudah menetap di kediaman keluarganya di ibu kota sejak tempoh berkenaan.

Kami sudah tidak sefahaman. Kes kami akan dibicarakan esok. Sudah lama saya boleh katakan kami tidak dapat hidup bersama. Akhirnya, perpisahan ini yang akan menjadi jalan terbaik. Ikutkan hati memang tak mahu ia berakhir begini.

Bukan mudah untuk Raja Farah membuat keputusan untuk berpisah kerana sudah hampir lima tahun mereka melalui susah dan senang bersama meskipun belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Kami sudah hidup bersama cuma belum ada rezeki menimang anak. Susah senang kami lalui selama ini. Tapi ini suratan yang harus saya terima. Kekuatan mahu atau tidak perlu datang dalam diri. Saya banyak dekatkan diri berdoa semoga dipermudahkan segala-galanya, keluarga juga tak putus memberi sokongan.

Tiada siapa yang mahu menghadapi proses perceraian dan kembali untuk hidup bersendirian, tetapi jika sudah tiada cara lain untuk mengekalkan rumah tangga mungkin ini adalah yang terbaik. Kepada Raja Farah, kami yakin setiap yang berlaku ada sebab yang tertentu. Semoga anda tabah dan segalanya dipermudahkan pada masa hadapan.

Sumber Berita: Berita Harian