March 22nd, 2012

Walaupun tiada penyingkiran pada pementasan minggu ketujuh Pilih Kasih  (PK3), Ahad lalu,  namun semua artis PK3 tidak boleh terus berasa mereka berada pada zon yang selesa dan selamat. Mereka sepatutnya mesti lebih berhati-hati kerana PK3 yang semakin menuju ke kemuncaknya sekaligus meletakkan mereka dalam situasi yang lebih sukar.

pk

Selepas diuji dengan pelbagai tugasan, Rosyam Nor berasakan sudah sampai masanya artis PK3 diuji dengan tugasan yang lebih berat dan mencabar kerana tiada alasan lagi untuk mereka mengambil tanggungjawab itu sambil lewa. Tegas Rosyam, PK3 adalah pentas ujian untuk mereka dan tiada masa lagi untuk mengambil mudah dengan setiap tugasan yang diberikan.

Jika minggu ini semuanya selamat tetapi tidak bermakna mereka akan terus berasa selesa pada minggu seterusnya. Minggu depan jika prestasi setiap artis PK3 tidak menunjukkan peningkatan mungkin lebih dari seorang akan saya singkirkan. Apa yang saya lakukan untuk kebaikan mereka semua kerana saya mahu mereka keluar dari PK3 menjadi artis yang berkualiti. Populariti tanpa usaha, tidak akan ke mana. Kedua-dua elemen itu saling berkaitan dan memerlukan. Saya mahu jadikan PK3 sebagai pentas perjuangan untuk mereka membuktikan bakat masing-masing, justeru jangan mudah berpuas hati. Saya mahu mereka berusaha untuk menjadi yang terbaik. PK3 adalah ‘sekolah’ mereka yang pertama untuk bergelar pelakon yang disegani ramai suatu hari nanti

pk

Sepuluh lagi artis PK3 yang akan bersaing, Fareth Agang, Heri Aszmo, Hakim Yazid, Jalius Jaibin, Reen Rahim, Theera Alias, Sura Sojangi, Naqia Nasution, Nizen Ayob dan Marina Jose. Ahad lalu penampilan mereka dalam drama Konspirasi Cinta arahan Erma Fatima mendapat pujian kedua-dua pengkritik tetap, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Fauziah Nawi.

pk

Penampilan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan memeriahkan dan menyerikan lagi persembahan mereka. Kemunculan Datuk Jalaluddin juga untuk memberikan mereka peluang merasakan perasaan sebenar bergandingan dengan pelakon hebat itu. Kata Erma Fatima:-

Bukan setakat berlakon bersama tetapi saya mahu mereka belajar berlakon dengan Datuk Jalaluddin. Saya mahu mereka merasai pengalaman bekerja dengan pelakon sehebat Datuk Jalaluddin. Sehebat mana pun lakonan kita, kita mesti terus belajar dan berguru dengan mereka yang lebih senior dalam bidang lakonan.Barulah kita tahu kedudukan kita di mana. Jangan cepat berpuas hati kerana ramai lagi yang akan muncul untuk menyaingi kita. Artis lama terus kekal kerana mereka bekerja dengan setulus hati, ikhlas menjadi anak seni dan paling penting mesti berdisiplin

pk

Pementasan teater juga mendapat perhatian kerana ia berkisar mengenai industri perfileman dan kali ini mereka dapat memberikan yang terbaik mungkin kerana lebih memahami naskhah yang diberikan. Penampilan mengejut Zulhuzaimi walaupun tidak dirancang namun boleh dikatakan agak berjaya kerana artis PK3 berjaya menyambung semula teater mereka. Kejutan tersebut adalah untuk Naqia Nasution yang amat meminati pelakon kacak itu.

pk

Bagaimanapun, seperti minggu-minggu yang lalu, persembahan monolog semua artis PK3 masih mengecewakan. Apabila membuat persembahan sendirian mereka bagaikan hilang arah. Apakah situasi itu berlaku kerana genre yang diberikan terlalu berat? Minggu ketujuh pementasan PK3, tugasan persembahan bertemakan penghargaan kepada seniman dan seniwati tanah air. Penampilan istimewa Farah Ahmad dengan monolog khasnya untuk Fauziah Nawi sangat menyentuh hati. Seharusnya artis mengambil iktibar kerana itulah caranya menyampaikan monolog.

pk

Apakah yang akan menimpa nasib 10 lagi artis yang bakal beraksi minggu ini? Rosyam masih mempunyai kuasa untuk menyingkirkan empat lagi artis PK3 sebelum mereka ke peringkat akhir. Pentas PK3 bersiaran dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Senawang, Negeri Sembilan dan disiarkan secara langsung di TV2, setiap Ahad, jam 9 malam.

February 29th, 2012

Minggu keempat persembahan Pilih Kasih musim ketiga (PK3) yang dipancarkan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Senawang, Negeri Sembilan, di TV2, Ahad lalu, menyaksikan penyingkiran Yizee Ariff dari pentas program itu.

pk3

Pada minggu lalu kedudukan Yizee bagaikan telur di  hujung tanduk kerana dia berada pada kedudukan undian SMS penonton yang tercorot bersama dengan dua lagi artis PK3, iaitu Aada Zara dan Airil Reffa. Namun nasib tidak menyebelahi Aada apabila dia yang terpaksa ‘pergi’ dulu. Bagaimanapun, pada minggu keempat sekali kedudukan Yizee berada pada paras bahaya bersama Hiera Hasan dan Nizen Ayob. Ini juga merupakan kali ketiga Yizee berada di kedudukan ‘merbahaya’ setelah 4 minggu bersiaran.

pk3
Walaupun pengkritik tetap, Fauziah Nawi mengatakan persembahan Yizee ada menunjukkan peningkatan tetapi Rosyam Nor tidak mampu menyelamatkannya kerana Rosyam tidak boleh menafikan kredibiliti yang ada pada Hiera dan Nizen. Oleh itu, sekali lagi dengan berat hati Rosyam terpaksa menamatkan perjuangan Yizee dalam PK3. Namun Rosyam menamakan Naqia Nasution sebagai calon yang sepatutnya keluar seandainya beliau berada di tiga tangga terbawah. Rosyam juga memberi amaran kepada Naqia dan juga artis-artis lain untuk terus memberikan mutu lakonan yang terbaik pada minggu berikutnya.

pk3
Dengan ketiadaan Aada dan Yizee tinggal 14 lagi artis PK3  yang akan meneruskan saingan pada minggu seterusnya iaitu, Ai Iqmal, Fareth Agang, Heri Aszmo, Hakim Yazid, Jalius Jaibin, Reen Rahim, Miza Azura, Theera Alias, Sura Sojangi, Naqia Nasution, Airil Riffa, Hiera Hassan, Nizen Ayob dan Marina Jose.

pk3

Jika tiga minggu lalu penonton di kompleks dan di rumah dapat mendengar kritikan lantang seorang lagi pengkritik tetap program itu,  Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah tetapi Ahad lalu dia tidak hadir kerana ada urusan di luar ibu kota.   Lantas kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr Abu Hassan itu memberi ruang kepada Fauziah melontarkan kritikan ‘keras’ terhadap artis PK3 kerana banyak lagi kelemahan mereka yang perlu diperbaiki.

pk3

Biasanya, Fauziah akan memberi laluan kepada Dr Abu Hassan di mana beliau akan cuba melihat persembahan artis dari sudut yang berbeza. Tetapi dengan ketiadaan Dr Abu Hassan, Fauziah lebih agresif mengkritik kerana dia tidak mahu artis PK3 leka yang akan mengakibatkan mereka hilang tumpuan dan tidak serius.       Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida selaku penasihat PK3, minggu ini juga ditugaskan mengkritik artis PK3.

pk3

Jika persembahan teater minggu lalu yang berjudul Puteri Gunung Sengkuang hasil nukilan dan arahan Erma Fatima dilihat sangat cemerlang sehingga membuatkan penonton tak kering gusi ketawa tetapi persembahan minggu ini yang berjudul ‘Apo Kono Eh’, agak hambar dan mesej yang ingin disampaikan agak kabur.

pk3
Umie sendiri tidak begitu menyukai teater itu kerana dia tidak faham apa yang mahu disampaikan oleh artis PK3. Sukar untuk menyatakan sama ada nashkah teater itu yang tidak berapa bagus atau barang kali artis PK3 gagal  menyampaikan mesej itu dengan baik.

pk3
Ia adalah kisah penjajahan budaya luar yang ditunjukkan oleh ‘kemunculan’ Whitney Houston masuk kampung. Daripada asyik menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh masyarakat setempat (Negeri Sembilan), penduduk kampung mengubah selera mereka dengan menyanyikan lagu Inggeris pula.

Pun begitu pujian harus diberikan kepada artis PK3 dari Sabah dan Sarawak yang berusaha menguasai loghat Negeri Sembilan dengan baik. Sebagai bakal artis yang akan mewarnai industri hiburan tanah air suatu hari nanti, sewajarnya mereka dapat meletakkan diri mereka dalam apa jua situasi kerana apabila berada di pentas lakonan sebenar, mereka ‘kena’ melakonkan apa saja watak yang diberikan pengarah.

Dalam pada itu, persembahan monolog ada menunjukkan peningkatan dengan corak persembahan yang pelbagai dan tambahan prop yang menarik perhatian penonton. Persembahan pada malam itu dimulakan dengan nyanyian lagu yang popular pada era 70-an, Si Baju Hijau.  PK3 dihoskan oleh Reza Mohamad yang gemar menggelarkan Dr Abu Hassan sebagai ‘angry bird’.

pk3

Jangan lupa untuk terus menyaksikan Kisah Pilih Kasih yang berubah waktu siarannya iaitu pada setiap hari Khamis dan Jumaat jam 2 hingga 3 petang, ZooOM Pilih kasih pada hari Sabtu jam 4.30 hingga 5.30 petang dan tentunya Pentas Pilih Kasih pada hari Ahad jam 9 malam. Kesemuanya di TV2!