October 27th, 2016

Gara-gara isu lawaknya terhadap Elly Mazlein, ada khabar angin mengatakan pelawak Nabil Ahmad telah disingkir sebagai pengacara program Gegar Vaganza 3.

Menurut berita berkenaan, tindakan terhadap Nabil itu adalah kerana lawaknya yang agak melampau dan berbaur lucah.

Namun, Nabil menafikan perkara itu dan menjelaskan beliau tidak menerima sebarang notis daripada pihak Astro berhubung penyingkirannya.

Saya tak tahu daripada sumber mana mereka dengar cerita ini. Nampaknya mereka yang lebih tahu sedangkan saya tidak terima apa-apa notis daripada Astro. Jadi, saya ketawa saja apabila mendengarnya.

Dikecam teruk oleh netizen sejak beberapa hari lepas, Nabil sudah tidak kisah lagi dengan kritikan ramai.

Saya terima setiap komen. Yang baik saya jadikan panduan dan buruk dijadikan sempadan tetapi kadang-kadang kritikan itu membuatkan saya kecewa kerana agak melampau.

Mereka hanya berani mengkritik di alam maya tanpa menunjukkan wajah dan menggunakan nama samaran. Jika mereka betul-betul ikhlas mahu menegur saya, sila hantar mesej peribadi (private message) kepada saya.

Tidak apa Nabil, jangan melatah. Jadikan kritikan orang ramai itu sebagai peringatan untuk anda tidak mengulangi benda yang sama di masa hadapan.

Sumber Berita : Harian Metro

October 24th, 2016

Umum mengetahui penyanyi Elly Mazlein kali ini berpeluang untuk beraksi di pentas Gegar Vaganza 3, minggu kedua beliau mendapat lagu Berpisah Jua nyanyian asal Ziana Zain. Tidak kami nafikan, lagu berkenaan agak berkaitan dengan apa yang Elly sedang lalui sekarang.

Elly memberikan persembahan yang agak mantap semalam, namun apa yang mengundang perhatian orang ramai ialah lawak Nabil yang seakan mempersendakan penderitaan yang Elly sedang tanggung.

Ayat Nabil berbunyi seperti ini :-

Macam ni punya cantik pun berpisah jua.

Netizen yang menonton GV3 menganggap lawak Nabil itu agak biadap dan tidak sensitif terhadap Elly. Buat netizen, tidak semua perkara boleh dibawa bergurau apatah lagi jika ia melibatkan kehidupan peribadi seseorang.

Ini bukan kali pertama Nabil mencetuskan kemarahan orang ramai dengan lawaknya ketika mengacarakan program Gegar Vaganza dan beliau pernah berjanji untuk lebih berhati-hati dalam berkata.  Mungkin malam tadi Nabil tidak perasan dengan apa yang beliau katakan, harapnya selepas ini Nabil  dapat memperbaiki kesalahannya itu dan tidak lagi membuat lawak yang melibatkan peribadi seseorang artis itu.

Kredit Foto : Instagram Sharp Shooter Photographer