Written by Bella | January 27th, 2016

Selepas lima tahun menyulam cinta, akhirnya pasangan Bella Dally dan Nazim Othman akhirnya mengikat tali pertunangan pada 14 November 2015.

Bella menerusi Harian Metro sempat berkongsi saat Nazim melamar beliau ketika hari terakhir di lokasi penggambaran drama Aku Balqis.

Malam itu adalah babak terakhir membabitkan saya, tetapi saya pelik kerana Nazim masih berada di lokasi. Ini kerana kebiasaannya dia akan balik ke hotel penginapan jika babaknya sudah tamat. Selain itu, dia juga muncul dengan berpakaian kemas. Sikapnya itu menimbulkan tanda tanya, tetapi saya masih tidak tahu perancangan di sebaliknya.

Kemudian saya lihat beberapa kru memegang telefon bimbit. Terdetik di hati mengatakan dia mahu melamar saya dan meminta kru terbabit merakamkannya. Ternyata gerak hati saya betul apabila selepas itu dia mengeluarkan cincin dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan saya.

Jelas Bella, sejujurnya mereka berdua ada terfikir akan soal berkahwin sebelum ini tetapi tidak pernah berbincang akan perkara berkenaan dengan lebih serius. Malah, pada waktu itu kedua-duanya masih muda dan belum bersedia untuk melangkah ke fasa yang seterusnya dalam perhubungan mereka.

Pasangan ini juga pernah putus cinta tetapi sikap mereka yang semakin matang dalam percintaan selain masih ada rasa sayang dan cinta menyatukan kembali Bella dan Nazim.

Tempoh kami putus tidak lama. Malah, sepanjang tempoh itu, kami masih berkomunikasi. Namun, disebabkan masih ada perasaan cinta dan sayang, kami kembali bersama. Itu yang dikatakan jodoh. Saya percaya ini semua sudah tertulis dan ditetapkan Allah. Kiranya, keputusan berkahwin adalah pilihan terbaik buat kami.

Menyifatkan Nazim seorang lelaki yang jujur dan tegas, Bella berharap Nazim dapat menjaga dan terus menyayanginya sehingga akhir hayat.

Buat masa ini mereka masih sibuk menguruskan persiapan perkahwinan dan hanya akan mengumumkan tarikh pernikahan selepas segala hal berkaitan majlis sehari mereka selesai.

Sumber Berita: Harian Metro

Written by Bella | January 22nd, 2016

Bila tersebar berita Nazim Othman dan Bella Dally sudah bertunang, ramai juga peminat yang terkejut. Buat mereka,  benda baik untuk apa hendak sorok bukan? Apatah lagi, selepas mengetahui pasangan tersebut sah bertunang pada bulan November tahun lepas.

Walaubagaimanapun, Bella memberitahu mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk menyembunyikan pertunangan mereka.

Saya bukan sengaja hendak merahsiakannya, apatah lagi ia hanyalah majlis bertunang. Insya-Allah bagi majlis pernikahan nanti, berita gembira itu akan dikongsi bersama. Sebenarnya, tarikh nikah pun belum ditetapkan lagi dan ia masih dalam perbincangan.

Tambah beliau lagi, jika segala persiapan dan perancangan perkahwinan mereka berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan, Bella dan Nazim akan bernikah pada tahun ini juga.

Bella dan Nazim mula berkenalan dan bercinta sekitar tiga tahun lalu, tetapi hubungan mereka pernah terputus pada tahun 2014 sebelum kembali terjalin beberapa bulan kemudian. Buat Bella, Nazim merupakan seorang yang memahami dan mereka cukup selesa bersama.

Sumber Berita: BH ONLINE

Written by Bella | January 21st, 2016

Beberapa jam lepas, berita Nazim Othman dan Bella Dally sudah bertunang mula menjadi topik hangat di media sosial. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut yang sudah bertahun menyulam cinta.

Walaubagaimanapun, masih ada lagi pihak yang ingin Nazim tampil dan menjelaskan ia bukan khabar angin semata-mata.

Sedar ia sudah menjadi berita sensasi, Nazim menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi secara rasmi mengesahkan beliau dan Bella sudah mengikat tali pertunangan pada 14 November 2015.

Jelas Nazim, beliau mula melamar Bella sewaktu sama-sama menjalani penggambaran drama Aku Balqis di Langkawi.

Kemudian,  pada 14 November itu keluarga Nazim bertemu dengan ibu bapa Bella di Sabah dan sekaligus melangsungkan pertunangan pada hari yang sama.

Buat masa ini Nazim hanya akan mengumumkan tarikh pernikahan mereka selepas segala persiapan perkahwinan mereka selesai.

Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada Nazim Othman dan Bella Dally. Semoga anda berdua kekal sehingga jinjang pelamin, memang lama betul kalian bercinta dan Bella sentiasa berada di sisi Nazim sewaktu waktu sukar beliau bertarung dengan penyakit ketumbuhan di otak.

Sumber Berita: Instagram Nazim Othman