Written by serenity | November 19th, 2013

Kebanyakan artis memang mempunyai pembantu peribadi untuk memudahkan urusan kerja. Pengurus yang baik bertujuan untuk memudahkan kerjasama artis bukan saja dengan pihak indistri, malah pihak media dan secara tidak langsung, peminat.

Bagaimanapun, melalui laporan portal GUA, aktres cantik, Hanez Suraya semalam telah memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Menurut Hanez:-

Saya memfailkan saman kepada Mohd Fairus kerana dia telah memfitnah dan mengaibkan saya. Salah satu cara yang dilakukan oleh Mohd Fairus adalah memfitnah saya menerusi laman sosial seperti Instagram menerusi akaun ‘DashaSultan’ dan Twitter menerusi akaun ‘Dasha_Sultan’. Selain itu, dia juga ada memburukkan saya kepada kawan-kawan yang lain, pihak media dan rakan-rakan artis. Saya ada kesemua bukti yang menyatakan dia memfitnah saya,” jelas Hanez ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Hanez mendakwa dia tidak menyedari Mohd Fairus bercerita perkara buruk tentang dirinya di laman sosial, namun kemudiannya menyedari yang lelaki itu memfitnah dan mengaibkan dirinya setelah diberitahu rakan-rakan lain. Pada mulanya Hanez mendiamkan diri, tetapi disebabkan keadaan menjadi semakin teruk, Hanez mengambil keputusan untuk memfailkan saman.

Sebelum ini, pada bulan Oktober lalu, saya ada menghantarkan surat sebelum tindakan ‘Letter of Demand’ kepada Mohd Fairus menerusi peguam saya, Tetuan Harjit Sandhu. Namun begitu, dia enggan menandatangani salinan surat tersebut sebagai bukti dia telah menerima surat tersebut. Surat tersebut mengarahkan Mohd Fairus untuk membuat permohonan maaf kepada saya secara terbuka dalam masa 48 jam dari tarikh penerimaan surat tersebut.

Selepas itu, Mohd Fairus ada berjumpa saya dan menyatakan hasrat untuk memohon maaf kepada saya. Dia telah memuat naik permohonan maaf menerusi akaun Instagram dan Twitter miliknya. Selepas permohonan maaf, saya ingatkan perkara ini telah selesai dan tiada lagi perkara berbangkit, namun begitu tanggapan saya ternyata salah. Dia masih memfitnah dan mengaibkan saya seperti biasa.

Tujuan saya memberikan kenyataan kepada GUA adalah untuk pihak Mohd Fairus mengambil perkara ini secara serius. Saya telah lama mendiamkan perkara ini dan saya tidak langsung menceritakannya kepada pihak media. Hanya keluarga dan teman rapat sahaja yang mengetahuinya. Saya juga telah berusaha untuk menghantarkan surat ‘Letter of Demand’, tetapi pihak Mohd Fairus tetap kembali mengaibkan saya. Hari ini Mohd Fairus atau wakilnya tidak menghadirkan diri ke Mahkamah. Mungkin isu ini dianggap ringan oleh pihak Mohd Fairus, tapi sebenarnya perkara ini adalah sangat berat.

Saya berharap, selepas ini biar pihak peguam saya menjalankan tugas. Jika perkara ini menjadi semakin teruk, saya akan mengadakan sidang media bersama peguam saya untuk menjelaskan secara lebih terperinci. Buat sementara ini, saya tidak mahu menghebohkan lagi perkara ini. Biar kenyataan ini menjadi satu-satunya kenyataan saya buat masa ini. Takut nanti jika ada banyak kenyataan lain, perkara akan menjadi makin serius. Lebih-lebih lagi perkara telah dibawa ke mahkamah. Biar pihak berwajib menjalankan tugas.

Walaupun ada pihak yang akan cenderung menyalahkan laman sosial, perlu diambil perhatian bahawa laman sosial hanyalah satu platform, namun apa yang disebarkan melalui laman sosial adalah sepenuhnya di bawah kawalan pengguna.

Mungkin bagi Hanez, inilah satu cara bagi beliau untuk menuntut keadilan bagi membersihkan namanya setelah langkah-langkah yang diambil sebelum ini tidak menghentikan fitnah terhadapnya.


Betul ke Anuar Zain pun bakal menonton Konsert Koir Kebangsaan: Kembara Muzikal Teater dan Filem pada 23 & 24 November 2013 di Dewan Tunku Abdul Rahman, MatiC, Kuala Lumpur?

Kena datang dulu untuk pastikan, ya tak? Dapatkan tiket anda untuk menonton Konsert Koir Kebangsaan di http://www.ticket2u.biz