September 23rd, 2015

Pelakon Azad Jazmin serta keluarga pasti tidak akan dapat melupakan detik cemas sewaktu menghadapi kemalangan jalan raya pada hari Ahad lepas apabila kereta jenis Toyota Altis miliknya terbabas sebelum berpusing lima kali berpunca daripada kesan minyak yang tumpah di permukaan jalan raya sekitar luar terowong Ipoh.

Walaupun keretanya mengalami kerosakan teruk, Azad bersyukur kerana beliau dan keluarga tidak apa-apa dan diberi peluang kedua untuk hidup.

Kereta yang dipandu saya terbabas setelah berpusing sebanyak lima kali. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta saya hancur. Saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bernafas.

Pelbagai perkara berlegar di benak fikiran dan saya menyangka kereta itu akan jatuh ke gaung. Saya sempat menoleh kepada adik lelaki saya di belakang sambil mengungkapkan kata-kata maaf kepadanya. Syukur juga isteri saya, Eira memegang erat anak perempuan kami di bahagian belakang dalam keadaan getir itu.

Keadaan menjadi bertambah kalut apabila ada peminat terlihat kami terlibat dalam kemalangan dan ingin bergambar. Lantas menjadikan lebuh raya sesak seketika.

Jelas Azad, sewaktu kemalangan tersebut berlaku mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk pulang ke Pulau Pinang selepas membawa ibu beliau menonton filem terbaru lakonannya Girlfriend Kontrak di Kuala Lumpur. Azad juga mempercayai kejadian yang berlaku itu ada hikmahnya tersendiri.

Saya menganggap ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku ini. Niat kami untuk membawa ibu saya menonton filem lakonan saya terbantut kerana kemalangan itu dan kami berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Saya memohon maaf kepada pihak media tidak menjawab panggilan kerana masih berada dalam keadaan trauma. Eira begitu terkesan dengan kejadian itu dan kami memutuskan untuk mengambil sedikit masa sebelum memberi sebarang kenyataan.

Ya Allah, memang dasyat pengalaman yang di alami oleh Azad Jazmin dan keluarga. Alhamdullilah, mereka masih diberi peluang untuk bernafas lagi dan kekal bersama tanpa sebarang kecederaan serius. Kereta rosak tidak apa, nyawa tidak boleh ditukar ganti begitu juga insan tersayang.

Sumber Berita: Berita Harian