December 5th, 2017

Hujung minggu lalu, ada sebuah akhbar melaporkan pelakon Aqasha sudah mula berlagak diva sejak mula dikenali selepas menyertai Gegar Vaganza 2017. Ada juga seorang penerbit terkenal, Fadzil Teh mendakwa Aqasha enggan mempromosikan drama lakonannya Misi Laksa Dan Laksam.

Menjawab tuduhan Fadzil, Aqasha memberitahu sebelum ini  beliau telah membantu mempromosikan drama tersebut meskipun ia bukanlah kerja beliau.

Berapa kali nak promosi pun saya tak tahu. Saya juga tidak fikir promosi di laman sosial saya banyak membantu jumlah tontonan. Melainkan jika jumlah pengikut saya di laman sosial diambil kira. Kalau saya bercakap lebih, bimbang nanti dikatakan melampaui batas penerbit pula. Dalam kontrak saya dibayar untuk lakonan dan perkara ini saya lakukan dengan baik berdasarkan tuntutan watak dan naskhah.

Menurut Aqasha, penerbit tidak seharusnya menyalahkan artis kerana syarat promosi tidak ada dalam kontrak kerja mereka. Dalam erti kata lain, pihak penerbit harus mengeluarkan belanja yang lebih untuk meminta artis mempromosikan sesebuah drama.

Sumber Berita : Harian Metro

May 17th, 2017

Beberapa bulan lepas, kita dikejutkan dengan pendedahan isteri Aqasha iaitu Baizura yang mendakwa seorang pelakon wanita terkenal bermain cinta bersama Aqasha. Baizura memuat naik perbualan mesra  antara pelakon wanita tersebut bersama suaminya itu di akaun Instagramnya. Pelakon wanita yang dikaitkan dalam  isu ini ialah Rita Rudaini.

Hanya berdiam diri sebelum ini, Aqasha akhirnya tampil membuka mulut dan mengesahkan rumah tangga serta hubungannya dengan isteri berada dalam keadaan baik. Kontroversi yang melanda sedikit pun tidak menjejaskan rumah tangga mereka.

Hubungan saya dan isteri okey dan kami tidak terjejas dengan spekulasi dan tuduhan orang ramai itu.  Saya seorang lelaki, Islam dan saya tahu apa yang saya lakukan.  Saya tidak boleh menjawab tentang perkara itu kerana ia adalah hal peribadi dan orang luar tidak tahu apa yang saya lalui.

Ditanya adakah bukti perbualan yang dimuat naik oleh isterinya itu benar, ini jawapan Aqasha : –

Jika dia muat naik paparan skrin sudah tentu ia betul, tapi orang tidak tahu perkara yang berlaku. Saya juga tidak mahu bercerita tentang perkara peribadi itu kepada umum, biarlah orang ingin bercakap apa-apa pun.

Meskipun hangat dilanda kontroversi bersama Rita, Aqasha bagaimanapun memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk digandingkan dengan Rita dalam mana-mana tawaran berlakon akan datang.

Sumber Berita : mStar Online

April 17th, 2017

Gara-gara terpalit dengan kontroversi bersama pelakon Aqasha, ada sesetengah peminat yang mula mempertikaikan prinsip Rita Rudaini yang dahulunya pernah menyatakan beliau benci dengan perampas suami orang.

Menjelaskan persoalan tersebut, Rita menafikan beliau anti-poligami ataupun dalam erti kata lain beliau sebenarnya tidak kisah untuk hidup bermadu.

Saya tidak pernah cakap anti -poligami, tidak pernah. Cuma saya tidak suka kepada perampas rumah tangga orang. Sesiapa pun tidak suka, kalau ada perempuan datang dan ambil suami kita, disuruhnya ceraikan isteri pertama, itu sudah salah.

Sedangkan dalam agama sendiri dibolehkan berpoligami dengan syarat-syarat dan kepatuhan-kepatuhan tertentu, kenapa pandang keji? Saya sendiri tidak pernah pun mengeji wanita yang berstatus isteri kedua atau ketiga. Tidak pernah.

Wallahualam, setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenai isu poligami. Adakah ini bermaksud lelaki-lelaki diluar sana yang sudah bergelar suami orang ada peluang untuk menawan hati Rita dan hidup bermadu? Keliru..

Sumber Berita : THE MALAY MAIL ONLINE

April 12th, 2017

Bukan sahaja didakwa sebagai punca rumah tangga Aqasha bersama isterinya Baizura berantakan, ada juga dakwaan mengatakan Rita sebenarnya sudah bernikah dengan Aqasha di Thailand secara rahsia. Mengulas mengenai khabar angin tersebut, Rita menerusi portal Harian Metro menganggap ia satu tuduhan yang agak melucukan.

Ini antara persoalan yang buat saya tergelak. Komen itu memang kelakar. Jangan disebabkan saya pernah berkahwin di Thailand perkara sama dibangkitkan.

Sudah menjelaskan apa yang berlaku antaranya dan Aqasha sebelum ini, Rita sudah tidak ingin ambil pusing lagi mengenai kontroversi berkenaan. Apa yang penting, beliau kini mahu memberikan fokus kepada dua orang anak lelakinya dan mahu melaksanakan kerja yang sudah diamanahkan kepadanya dengan baik. Rita tidak mahu kekecohan ini memberikan kesan terhadap kualiti kerjanya.

Komen yang ditulis seolah-olah mereka berada di tempat kejadian. Boleh saja saya balas satu persatu tapi tak ada gunanya. Saya masih boleh berfikir secara waras. Pada masa sama saya tak nak mengeruhkan lagi keadaan.

Apabila membabitkan laman sosial, saya tak ada hak melarang mereka bersuara. Lagipun, saya sudah lali dengan komen dan kritikan pengguna laman sosial. Baik atau tidak, pasti ada yang tak suka.

Selagi isu ini sedang hangat, memang akan ada mulut yang tidak akan berhenti bercakap mengenainya. Akan ada pelbagai spekulasi liar yang hanya mengeruhkan lagi keadaan. Apa yang berlaku hanya Rita, Aqasha dan Baizura sahaja yang tahu. Apa-apa pun, harapnya Aqasha tampil ke hadapan untuk memberikan penjelasan daripada pihaknya juga.

Sumber Berita : Harian Metro