Written by Bella | May 25th, 2017

Setelah Nelydia Senrose memberitahu isu cukai pendapatannya sudah selesai, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur juga semalam telah membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menarik balik kes terhadap pelakon Nelydia  yang sebelum ini didakwa gagal mengemukakan borang cukai pendapatan.

Ia sekaligus membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas Nelydia pada 12 April lepas kerana gagal hadir ke mahkamah.

Majistret P. Sarulatha memutuskan perkara itu selepas peguam LHDN, Nurulsheeda Mohd Yahaya memaklumkan bahawa Nelydia telahpun membuat pembayaran cukai pendapatan.

Terdahulu, Nelydia menghadapi lima pertuduhan kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 78(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mengkehendaki Nelydia mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) bagi lima tahun taksiran.

Nelydia dilaporkan gagal mengemukakan borang taksiran bagi tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 dan turut satu lagi tuduhan iaitu gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDN.

Jika sabit kesalahan, Nelydia boleh dihukum mengikut Seksyen 120(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber Berita : THE MALAY MAIL ONLINE