Written by Bella | November 19th, 2015

Meskipun kes Azma Aizal Yusoof yang memukul Ika Nabella menyebabkan kontroversi sehingga penggambaran drama Dawai Asmara terpaksa ditangguhkan, penerbitnya Datuk Rosyam Nor sama sekali tidak serik untuk bekerjasama dengan pengarah tersebut.

Susulan pengakuan bersalah yang dibuat oleh Azma semalam, Rosyam Nor menganggap perkara tersebut sudah selesai.

Bagi saya, Azma adalah pengarah generasi baru yang sedang meningkat naik. Beliau ada kreativiti tersendiri dan saya senang dengan hasil kerjanya. Saya sendiri pernah berlakon di bawah arahannya untuk drama Perjalanan. Saya akui suka cara pengarahannya.

Selepas kejadian ini, saya tidak akan serik atau berhenti mengambilnya mengarah drama-drama keluaran Suhan Movies. Saya tiada masalah untuk terus bekerjasama dengannya di masa-masa akan datang.

Rosyam Nor yang sedia maklum dengan keputusan Azma untuk menarik diri daripada terus mengarah drama Dawai Asmara turut menasihati agar Azma tidak mengulangi perbuatannya itu meskipun dengan alasan untuk mendapatkan hasil lakonan yang terbaik.

Setelah didenda oleh mahkamah, Azma datang berjumpa saya dan memaklumkan untuk menarik diri sebagai pengarah. Beliau ada penjelasan sendiri, begitu juga Ika Nabella.

Saya nasihatkan Azma untuk tidak mengulangi perbuatan mengasari tersebut sungguhpun beliau punya alasan perkara yang dilakukannya itu adalah untuk mendapatkan hasil lakonan terbaik.

Mungkin caranya dengan niat untuk membimbing bagi mendapatkan kualiti lakonan yang berkesan itu tidak boleh diterima oleh segelintir pelakon.

Sebelum menarik diri, Azma sudah selesai mengarahkan 7 episod drama tersebut sebelum menyerahkan bakinya kepada pengarah baharu nanti.

Karya Azma Aizal Yusoof sememangnya mempunyai auranya tersendiri, banyak drama beliau menjadi hits dan antara yang masih lagi menjadi bualan ramai adalah Teman Lelaki Upahan. Walaubagaimanapun, tiada manusia yang sempurna dan pasti akan melakukan kesalahan di dunia ini. Semoga  kes ini akan menjadi pengajaran buat Azma serta orang lain di luar sana.

Sumber Berita: Mangga Online

Written by Bella | November 18th, 2015

Kes mengenai Ika Nabella yang telah dipukul sehingga bertubi-tubi oleh pengarah Azma Aizal Yusoof cukup mendapat perhatian ramai. Dikenali sebagai pengarah yang berkaliber, ada segelintir pihak yang seakan tidak mempercayai Azma boleh melakukan hal sedemikian hanya kerana Ika tidak dapat menjiwai wataknya dalam drama Dawai Asmara dengan baik.

Selepas beberapa siasatan yang dijalankan, Azma akhirnya didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Ampang dan telah dikenakan denda sebanyak RM 2,000.

Saya akui kesalahan saya menampar Ika atas niat kerana ingin memberikan mutu lakonan terbaik bagi drama bersiri arahan saya. Namun bukan semua orang dapat menerima teknik yang saya gunakan. Jadi saya membuat keputusan menyerah diri kepada polis sehari selepas Ika membuat laporan.

Saya ada menghantar mesej kepada Ika meminta maaf kerana mengasarinya. Dia membalas mesej dan turut memohon maaf terhadap apa yang berlaku. Alhamdulillah perkara yang terjadi mematangkan saya. Insiden ini memberi impak bukan saja kepada saya dan Ika malah kepada seluruh warga produksi.

Walaubagaimanapun setelah apa yang berlaku kepada dirinya sehingga menimbulkan kontroversi, Azma telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada terus menjadi pengarah kepada drama tersebut.

Malah, beliau sendiri telah berjumpa dengan penerbitnya Datuk Rosyam Nor untuk menyatakan hasrat beliau itu.

Selepas didenda oleh mahkamah, saya menyatakan hasrat untuk menarik diri kerana bertanggungjawab dengan kesalahan yang saya lakukan. Saya berjaya menjalankan tugas sebagai pengarah untuk tujuh episod dan selebihnya akan dilaksanakan oleh pengarah baharu yang dipilih oleh pihak produksi.

Segalanya sudah selesai sekarang dan Azma juga sudah menerima hukuman atas apa yang beliau lakukan terhadap Ika Nabella. Harapya kes sebegini harus menjadi pengajaran buat pengarah di luar sana untuk tidak sesuka hati memukul artis meskipun lakonan mereka tidak menepati kehendak anda.

Sumber Berita: Berita Harian