Nampaknya minggu ini penyanyi Haqiem Rusli terus mendapat perhatian ramai. Semuanya gara-gara dia dikatakan menipu mempunyai tekanan perasaan ataupun depresi hanya untuk dijadikan gimik bersempena dengan pelancaran lagu terbarunya.
Pernah memberikan kata-kata sokongan ikhlas dari hatinya buat Haqiem yang kononnya ingin berhenti menyanyi kerana mengalami masalah depresi, Caprice menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagramnya tidak dapat membendung lagi rasa amarahnya dan menyampaikan pesanan yang cukup padu buat Haqiem dan pengurusannya.
Terdahulu, memang ada timbul gosip mengatakan Haqiem mempunyai masalah ‘attitude’ sejak memenangi salah satu anugerah di AJL 32 dan pernah juga tiba-tiba mencetuskan sedikit pergaduhan dengan seorang penyanyi yang didakwa menciplak lagunya.
Baru sahaja meningkat naik dalam bidang nyanyian, Haqiem sudah terlibat dengan pelbagai kontroversi. Paling teruk apabila mempergunakan artis lain dan menipu orang ramai hanya untuk meraih publisiti dan melariskan single terbarunya. Apa gunanya gimik murahan jika selepas ini tiada orang yang ingin percaya lagi pada anda? Bakat sahaja tidak cukup untuk kekal dalam industri hiburan.