Selepas lima hari direman, akhirnya pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil dibebaskan sebentar tadi dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 oleh adiknya, Fadzil Zahari. Farid mengaku tidak bersalah terhadap setiap tuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad dan Konstabel Mohd Nizam Jamaludin dan didkawa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga pula, Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan menghalang tugas polis dan beliau didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan terakhir, beliau didakwa berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis Kota Damansara dengan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada Nizam yang mana ia boleh mendatangkan kemarahan.
Mahkamah telah menetapkan 5 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan hari ini buat pertama kali, isterinya, Diana Danielle muncul di mahkamah untuk memberikan sokongan kepada suaminya itu.
Farid begitu gembira sekali bertemu dengan Diana dan meluahkan cintanya kepada aktres tersebut.