Menjadi selebriti pada zaman sekarang mempunyai “harganya” tersendiri. Bukan sahaja perlu berhadapan dengan gosip dan kontroversi, mereka juga sering menerima kecaman daripada netizen yang menjadikan medium media sosial sebagai tempat untuk melemparkan segala kritikan negatif.
Buat pelakon Janna Nick, beliau bagaimanapun tidak pernah mahu menjawab segala kritikan mahupun komen di laman sosial.
Perkara paling mudah yang beliau lakukan untuk menghindari negativiti ialah dengan memadam komen dan menyekat akaun mereka yang melemparkan segala kata-kata kesat. Tiada faedahnya berlawan di alam maya.
Saya mudah, jika tidak suka tentang apa perkara negatif dan fitnah dilemparkan saya padam dan sekat akaun tersebut kerana lebih baik tidak mengambil tahu atau membalas komen tersebut. Pada saya jika ada sesuatu isu, saya lebih senang menjawab kepada wartawan dan bukannya berbalas komen di Instagram.
Saya pilih untuk tak memanjangkan sesuatu perkara dengan berbalas komen dengan netizen kerana kita sendiri tidak tahu kewujudan mereka ini atau pun waras ke tidak. Buat apa hendak lawan dalam alam maya yang tak nyata? Namun apa yang baik saya ambil sebagai panduan dan berunsurkan negatif sehingga menghentam dan menjatuhkan, saya padam dan sekat akaun mereka.
Bagus juga taktik yang digunakan oleh Janna, tidak perlu melatah ataupun peningkan kepala bila berhadapan dengan komen negatif. Lagipun, mereka yang suka kecam ini menggunakan akaun palsu dan ada antara mereka masih budak-budak lagi sebenarnya.