May 3rd, 2019

Hari ini, pelakon Zizie Ezette dan suaminya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes rasuah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Menghadapi tiga pertuduhan berkaitan kes rasuah tersebut, Zizie bagaimanapun nafi bersubahat  dan mengaku tidak bersalah memperoleh rasuah RM2.8 juta  selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Zizie didakwa telah bersubahat memperoleh rasuah dengan Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad. Wang yang diberikan oleh dua ejen itu dimasukkan ke dalam akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) di bawah nama Zizie.

Difahamkan, rasuah itu adalah upah kepada Bung Moktar yang mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Zizie dan Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sumber Berita : Utusan Online

Kredit Foto : Berita Harian

May 2nd, 2019

Petang semalam, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya pelakon Datin Zizie Ezette bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) bernilai RM 3 juta. Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas memberikan keterangan.

Meskipun berita penahanan itu telah tersebar, ibu kepada Zizie  iaitu pelakon Khaty Fauziah mengakui terkejut dengan berita tersebut dan sama sekali tidak tahu anaknya itu ditahan. Tiada siapa pun yang memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.

Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu kerana ketika ini saya berada di Melaka. Zizie atau Sam juga tidak memaklumkan apa-apa kepada saya.

Mereka tahu saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis, jadi mereka tak akan buat saya susah hati. Awak juga jangan cakap banyak dengan saya, tak fasal saya pengsan nanti.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, Bung Moktar dan Zizie bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Sumber Berita : mStar Online

May 2nd, 2019

Pelakon Zizie Ezette dan suaminya Datuk Seri Bung Moktar Radin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam. Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Pasangan ini ditahan selepas tampil memberikan keterangan kepada SPRM disyaki berhubung kes rasuah Felcra melibatkan nilai RM 3 juta.

Bagaimanapun, Bung Moktar yang merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad dan isterinya itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas memberi keterangan selama 8 jam.

Mereka akan didakwa di mahkamah pada Jumaat ini mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009.

Sumber Berita : mStar Online & Sinar Harian

Kredit Foto : Aqo Imran