Written by Bella | October 11th, 2016

Tahniah kami ucapkan kepada pelakon Zarina Zainuddin yang kini sudah berhijrah ke arah lebih baik dan kembali berhijab sepenuhnya sejak 30 September lepas.

Zarina memberitahu beliau mendapat petunjuk ketika menunaikan solat Subuh dan kini cukup selesa dengan penghijrahannya.

Entahlah, tiba-tiba apabila melihat anak-anak, terasa sayu di hati. Selama ini, ketika saya menunaikan solat, sukar untuk saya melakukannya dengan khusyuk. Bagaimanapun pada Subuh Jumaat itu (30 September), sewaktu solat, hati terasa sayu dan tiba-tiba pula saya menangis ketika sujud.

Saat itu, seakan-akan ada suara yang berkata, berubahlah untuk kebaikan. Kemudian saya berdoa kepada Allah, kenapa saya tidak mendapat hidayah-Nya, apakah saya jahat atau adakah hati saya keras untuk mengikut suruhan-Nya? Sedangkan, saya sudah berasa semua kesusahan, kesenangan dan kebahagiaan yang Allah beri.

Saya berdoa kepada Allah, saya tidak mahu apa-apa lagi kerana sudah serba cukup, mempunyai keluarga sempurna, anak-anak, suami dan madu yang baik, tetapi iman pula belum kuat.

Namun, Zarina tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai penghijrahannya itu kerana beliau masih baru lagi dalam langkah untuk menjadi wanita  Islam yang sejati. Pada masa yang sama, Zarina akui beliau risau dengan pelbagai ujian yang bakal beliau lalui pada masa akan datang.

Sejujurnya, saya selesa dengan perubahan ini. Selama ini, pengikut laman sosial juga sering mendoakan saya. Mereka banyak memberi sokongan. Cuma saya tidak berani untuk bercerita lebih-lebih.

Diharap saya dapat mengharungi kehidupan ini dan saya berdoa, sekiranya gagal, saya berharap Allah dapat membantu saya ke jalan yang lebih baik.

Alhamdullillah, kami gembira melihat Zarina yang kini sudah berhijrah. Memang benar akan ada ujian yang mendatang untuk mengetahui setabah mana hati kita, namun janganlah berputus asa dan mengalah. Berdoa kepada Allah SWT dan inshaAllah segalanya akan dipermudahkan.

Sumber Berita : BH ONLINE